Hadi dijangka bentang RUU 355 esok

Hadi dijangka bentang RUU 355 esok

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan Rang undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) di Dewan Rakyat esok.

Akhbar BH hari ini melaporkan terdapat beberapa petunjuk jelas untuk usul Ahli Parlimen Marang yang tertangguh sejak tahun lalu itu dibahaskan antaranya pertemuan tertutup Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut terlibat dalam pertemuan sejak kelmarin dan semalam itu adalah Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) bagi menyampaikan amanat meminta mereka menyokong usul Hadi berkenaan.

Walau bagaimanapun, lapor BH, sumber daripada salah seorang ahli BNBBC sekadar memberitahu pertemuan tersebut hanya ‘sembang-sembang’.

“Kita ada mata, pandang. Ada telinga, dengar. Ada mulut (sambil menunjukkan isyarat tutup mulut),” seperti dipetik yang kebetulan menyerupai lirik lagu ‘Yang Remeh Temeh’ yang memenangi Juara Lagu 1992 bagi kategori Irama Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang Ahli Parlimen Pas dari Kelantan juga dilapor dihampiri Ahmad Zahid yang juga Timbalan Presiden Umno di ruang legar Parlimen petang semalam.

Mereka diperhatikan bersalam sambil dikatakan berpesan untuk ‘bersedia’ di Dewan Rakyat esok.

“Mungkin. Kita tunggu 6 haribulan (esok) nanti,” jawabnya enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah berkaitan dengan pembentangan RUU 355.

Sementara itu, Utusan Malaysia hari ini melalui rencana Penolong Ketua Bironya, Saifulizam Mohamad turut berharap semoga pembentangan RUU 355 esok menjadi kenyataan.

Menganggap usul Hadi itu “ditentang hebat” termasuk kelompok tertentu orang Islam, beliau mempersoalkan sikap “dua puak liberal” iaitu pertubuhan Bebas dan Kumpulan G25 yang menentang pindaan akta tersebut.

“Sehubungan itu, kepada semua ahli Parlimen beragama Islam sama ada BN, Pas, PKR, PAN mahupun DAP marilah sama-sama menyokong RUU 355 bagi membolehkan rang undang-undang ini diluluskan,” ujarnya menggunakan singkatan ‘PAN’ bukannya Amanah seperti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 Oktober 2015.

Tinjauan di portal rasmi Pas, Harakahdaily pula setakat tengah hari ini mendapati tiada sebarang laporan berita mengenai kemungkinan pembentangan RUU 355 esok.

Usul persendirian Hadi perlu mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua RUU Kerajaan diselesaikan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Hadi telah menangguhkan perbahasan usulnya itu sebanyak dua kali iaitu pada 26 Mei dan 24 November yang kemudiannya disusuli himpunan ungu menyokong RUU 355 pada 18 Februari lalu.

Turut hadir dalam program ceramah di Padang Merbok di ibu negara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dan timbalannya, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Minggu lalu, Najib Razak berkata, BN tidak akan membentangkan RUU 355 selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi partinya walaupun Presiden Umno itu dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 1 Disember 2016 memberitahu kerajaan akan mengambil alih pindaan akta 355 itu.

TAGS