Malaysia Dateline

Hadi enggan dedah tarikh menghadap Sultan Perak

Walaupun sudah tiga hari Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14, Pas masih bercakap tentang menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memberitahu bahawa permohonannya untuk menghadap Sultan Nazrin telah diperkenan baginda.

Namun, Ahli Parlimen Marang itu tidak pula mendedahkan tarikh beliau dibenarkan menghadap Sultan Perak.

“Kita telah sembah permohonan dan sudah diterima (saya)… tak mahu beri tarikh bila (akan menghadap).

“Tiba masa kita akan menghadap,” katanya kepada media pada sesi dialog di ibu pejabat Pas di ibu negara hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung parti, Takiyuddin Hassan.

Pada 10 Disember lalu, tiada wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), di Istana Iskandariah.

Hanya empat ADUN Perak dari Umno dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Nazrin.

Saarani dalam reaksinya kelmarin memberitahu, lima kekosongan kerusi Exco itu akan dipenuhkan apabila tiba sudah masanya nanti.

Jelasnya, beliau hanya boleh mencadangkan nama Exco manakala hak mutlak untuk memperkenankan cadangan dan pelantikan Exco adalah terletak pada perkenan Sultan Nazrin.

Untuk rekod, tiga ADUN Pas Perak tidak hadir pada sesi menghadap Sultan Nazrin pada 8 Disember lalu sebelum nama calon Menteri Besar dimuktamadkan.

Pas ketika itu berkata tindakannya “menangguhkan” untuk menghadap Sultan kerana kepemimpinan pusat belum memutuskan sokongannya terhadap Saarani sebagai Menteri Besar yang baharu.