Malaysia Dateline

Hadi fitnah AMANAH kait fahaman Islam liberal-sekular

Tuduhan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan AMANAH dengan fahaman Islam liberal-sekular terbukti sebagai fitnah.

Menurut Biro Politik AMANAH, tuduhan buruk itu memang sudah menjadi kebiasaan Abdul Hadi sejak tahun 1980-an lagi yang memberikan gelaran buruk kepada lawan politiknya dengan memperalatkan agama.

“Namun, apabila musuh politik itu bersama dengan mereka, maka dakwaan buruk tersebut tidak lagi kedengaran.

“Inilah yang berlaku kepada Umno yang dahulunya digelar parti sekular yang mempertahankan Perlembagaan penjajah, tetapi hari ini mereka bekerjasama rapat dengan Umno.

“Begitu juga ketika Pas bekerjasama dengan DAP daripada tahun 1999 hingga 2013, segala tuduhan buruk terhadap DAP akan dibersihkan berbanding ketika tidak bersama dengan Pas,” dipetik daripada kenyataan biro itu yang menjawab 21 tuduhan Abdul Hadi terhadap AMANAH.

AMANAH juga mengingatkan, seharusnya sejarah penubuhan parti itu perlu dibaca bersekali dengan sejarah perkembangan Pas pada pasca pilihan raya umum 2008 sehinggalah 2015.

Ini kerana katanya, pada waktu itu sudah wujud usaha dalaman dalam kalangan segelintir pimpinan Pas yang mahu mewujudkan kerjasama bersama Umno dengan memperalatkan idea Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kerjasama itu membelakangi keputusan Muktamar Pas 2008 di Ipoh yang memutuskan bahawa Pas kekal bekerjasama dengan Pakatan Rakyat yang disertai PKR dan DAP untuk memerintah lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Malah, hal tersebut diulang beberapa kali oleh bekas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang kelompok yang mencuba untuk membawa Pas bekerjasama dengan Umno.

Tindakan itu akhirnya dikatakan membawa kepada pemecatan dua pimpinan kanan Pas iaitu Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan bekas Naib Presidennya, Dr Hasan Mohamad Ali yang dikaitkan dengan kerjasama tersebut.

“Namun selepas pemecatan mereka, usaha untuk membawa Pas bekerjasama dengan Umno terus dijalankan saki-baki pimpinan yang ada.

“Rentetan itu, berlaku tentangan terbuka terhadap pimpinan Pas yang mempertahankan keputusan Muktamar Pas agar terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

“Mereka digelar dengan pelbagai gelaran gelaran buruk termasuk dihukum munafik oleh sebahagian asatizah Pas yang menolak keputusan Muktamar tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, pada akhirnya seramai 18 orang bekas pimpinan Pas menubuhkan AMANAH dan menyertai pakatan pembangkang yang kemudiannya dinamakan Pakatan Harapan (PH) untuk kekal menentang kerajaan Umno Barisan Nasional.

Penubuhan AMANAH juga dikatakan bermula dengan satu mesyuarat khas di Muar, Johor yang dihadiri oleh 18 bekas pimpinan Pas Pusat dan ratusan pimpinan Pas diperingkat negeri dan kawasan.

Justeru kata Biro Politik AMANAH, dakwaan Abdul Hadi terhadap parti itu adalah fitnah oleh kerana Perlembagaan AMANAH selaku undang-undang tertinggi parti secara jelas meletakkan dasar dan tujuan AMANAH adalah untuk ‘memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan’.