Malaysia Dateline

Hadi gelar PH seperti ‘burung kasuari padang pasir’

Giliran burung kasuari yang berasal dari hutan tropika pula jadi perlambangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengaitkan sikap Pakatan Harapan (PH).

Menerusi artikel panjang Minda Presiden sebentar tadi, Ahli Parlimen Marang itu menolak dakwaan bahawa PH tidak berpolitik.

Bahkan, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu menganggap desakan PH agar Parlimen kembali bersidang sebagai berpolitik.

“Ada yang berkata, PH tidak berpolitiking, kononnya taat setia kepada titah Tuanku supaya tidak berpolitiking.

“Akan tetapi, mereka tetap juga berpolitiking mendesak agar diadakan Sidang Parlimen ketika tempoh masa darurat kerana Tuanku yang mengisytiharkannya boleh bersidang.

“Telatah mereka yang kononnya tidak berpolitiking, seperti burung kasuari padang pasir yang menyembunyikan diri dengan menyorok kepalanya yang kecil ke dalam tanah, dan mendedahkan badannya yang besar nampak dari jauh mata memandang,” katanya.

Untuk rekod, Pas dengan jumlah 18 kerusi Dewan Rakyat berpakat dengan kumpulan Muhyiddin daripada Bersatu dan kumpulan Azmin daripada PKR untuk membentuk kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN).

Walau bagaimanapun, Muhyiddin yang menerajui kerajaan PN pada masa ini hanya mempunyai 109 sokongan anggota Parlimen.

Abdul Hadi kerap menyebutkan binatang dalam perlambangan yang digunakannya.

Mengulas genap setahun PN memerintah negara, Abdul Hadi menganggap perubahan kerajaan dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, “tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang”.

Bekas Menteri Besar Terenganu itu juga mendakwa pemerhati luar kagum dengan pertukaran kerajaan yang tanpa berlaku keganasan.

“Ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat yang tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera, dan tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas,” ujarnya.

Hadi selanjutnya berkata, perubahan kerajaan kepada PN berlaku secara bersih tetapi sukar untuk membersihkan peninggalan yang dilakukan oleh PH.

Dia mendakwa PH telah membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan yang pendek.

“Bak kata orang-orang tua, hendak membaiki itu lebih susah daripada hendak merosakkan,” katanya lagi.