Hadi kekal di Marang, Takiyuddin Kota Bharu

Hadi kekal di Marang, Takiyuddin Kota Bharu

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang disahkan akan bertanding di Parlimen Marang tetapi tidak akan mempertahankan kerusi Dun Rhu Rendang, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau juga mengesahkan dirinya akan mempertahankan Parlimen Kota Bharu sementara Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga akan bertanding di peringkat Parlimen.

Mereka bertiga tidak akan bertanding di peringkat negeri pada pilihan raya kali ini. “Itu yang diminta parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut seperti dilapor FMT.

Pada PRU13, Hadi bertahan di Parlimen Marang dan Dun Rhu Rendang dengan kelebihan majoriti 2,747 dan 2,819 undi menewaskan calon BN.

Hadi mula bertanding kerusi Marang sejak 1986 dan sepanjang tempoh itu, beliau memenangi 5 daripada 7 perlawanan.

Takiyuddin pula menewaskan pencabarnya dari BN dengan kelebihan besar 15,970 undi. Beliau juga pernah menjadi wakil rakyat DunBunut Payong dari 1999 hingga 2008.

Tuan Ibrahim pula dikecewakan di Dun Jengka, Pahang di tangan calon BN dengan majoriti 1,303 undi. Kerusi yang bakal ditandingi pemimpin PAS ini akan diketahui esok.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata semua calon PAS di setiap negeri kecuali Kelantan, Sarawak dan Sabah akan diumumkan esok.

Calon bagi Sarawak akan diumumkan pada 21 April manakala Sabah 22 April. Calon bagi Kelantan pula hanya akan diumumkan 25 April – 3 hari sebelum penamaan calon – kerana “ada kemas kini”.

“Calon sudah ada,” kata Takiyuddin, dan menambah calon-calon yang diumumkan esok perlu melafazkan bai’ah terlebih dahulu.

Ikrar kesetiaan kali ini tidak tidak melibatkan perceraian dan akan diselaraskan untuk semua negeri.

“Lafaz baiah terbahagi kepada 4 iaitu semua calon dari ahli Pas perlu melakukan satu lafaz. Kedua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) terdiri daripada bukan Islam ada satu lafaz.

“Gagasan Sejahtera ada ahli dari Islam dan bukan Islam akan lakukan akuan bersumpah dan bukan Islam ada satu lafaz,” katanya.

Takiyuddin berkata baiah ini akan diadakan dan disaksikan secara bertulis petang esok sebelum pegumuman senarai calon.