Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Hadi minta jangan undang pihak asing siasat 1MDB

Dalam surat terbukanya kepada semua parti politik di negara ini, beliau meminta agar jangan bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaian isu dalam negara oleh mahkamah di negara asing.

“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,”katanya yang dipercayai mengulas tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika yang sedang menyiasat skandal 1MDB yang menggunakan kemudahan di negara itu untuk menipu wang negara.

Menurut Hadi, pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan negara ini.

“Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita,” kata ahli parlimen Marang itu.

Hadi berhujjah, sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran.

“Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga,” katanya.

Katanya, dalam lipatan sejarah tamadun Islam, kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol tertangguh beberapa abad apabila salah seorang pemimpinnya, Ibnu Abbad yang menentang cadangan menjemput campur tangan asing, dengan tegas beliau menyatakan:

“Bahawa saya lebih rela menjadi gembala unta kepada yang zalim kalangan kita daripada menjadi gembala babi kepada pihak bukan kita,” kata Hadi memetik pemimpin Islam Sepanyol itu.

Berbeza dengan Hadi, timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan kelemahan aparatus negara dalam menyelesaikan isu 1MDB berbanding dengan DoJ Amerika.

Beliau hairan, dengan kejayaan SPRM memburu penjawat awam kerana rasuah, tidak kira betapa kecil jumlah itu, pastinya mampu membongkar semua penipuan dalam 1MDB. Begitu juga polis, Jabatan Audit Negara dan Gabaenor Bank Negara.

“Keempat-empat pasukan ini semestinya lebih mampu daripada DoJ, tapi malangnya mereka kini terpaksa mengharungi penghinaan demi penghinaan oleh DoJ kerana mereka sedang berhadapan halangan-halangan yang tidak boleh disebut,” kata Tuan Ibrahim dalam satu catatan di Harakahdaily.net selepas tindakan terbaru DoJ.

“Mengapa DoJ dapat menyiasat dan membongkar pengaliran tunai 1MDB dengan sebegitu teliti manakala siasatan 1MDB di dalam negara pula tidak menampakkan apa-apa hasil?

“Sehingga kini, siasatan polis terhadap 1MDB masih tidak siap-siap. Siasatan yang dilakukan Ketua Audit Negara yang diserta bersama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pula diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Peguam negara kita pula bertindak seolah-olah beliau ialah peguambela individu dan bukannya negara,” kata beliau dalam kenyataan itu.