Malaysia Dateline

Hadi patut utamakan yang wajib, tumpukan pada Yaman bukan Afghanistan

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoal tindakan Duta Khas ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang lebih menumpukan isu-isu di luar Timur Tengah berbanding permasalahan yang sedia wujud di dalam Timur Tengah itu sendiri.

Beliau berkata, Hadi lebih memberikan tumpuan untuk membantu kerajaan Taliban Afghanistan berbanding konflik di Yaman yang lebih memerlukan perhatian.

Beliau turut mempersoal, mengapa Hadi tidak menyentuh soal penderitaan dan kematian rakyat Yaman yang memang terletak di Timur Tengah, jika Abdul Hadi benar benar peduli terhadap kesengsaraan umat Islam di Timur Tengah.

“Mengapa selama ini Timur Tengah yang menjadi kewajipan perhatian Haji Hadi diabaikan, tetapi tiba-tiba Afghanistan yang di luar Timur Tengah pula diberi komitmen dan perhatian?

“Perang di Yaman adalah perang antara kuasa besar dan negara yang lemah dan kerdil. (Perang berlaku) sehingga berjuta kanak-kanak dan orang dewasa berhadapan masalah kekurangan nutrisi serta kebuluran.

“Perdana Menteri, Ismail Sabri perlu menjelaskan pendirian Malaysia berhubung pentadbiran Taliban di Afganistan dan juga soal krisis di Yaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Salahuddin juga mendesak agar Hadi memberi penjelasan kepada Kabinet dan rakyat Malaysia, kenapa sebelum ini beliau hilang dari melaksanakan tanggungjawab sebagai duta.

Namun katanya, apabila keluar pengumuman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hadi secara tiba-tiba muncul dan membuat pengumuman kontroversi untuk negara di luar kawasan tanggungjawab beliau sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.

“Walaupun kita sepakat dan bersetuju bahawa rakyat Afganistan perlukan bantuan, tetapi ia harus mengikuti prosedur dan protokol yang betul.

“Dalam prosedur biasa, Malaysia akan menunggu penelitian dan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap satu satu kerajaan dalam negara, sebelum memberi komitmen kepada kerajaan kontroversi baharu seperti Afghanistan.

“Nampaknya Abdul Hadi telah terburu buru melebihi kuasanya sebelum keputusan Kabinet bertindak sedemikian,” ujarnya.