Hadi: penentang pindaan Akta 355 perlu kaji undang-undang lapuk

Hadi: penentang pindaan Akta 355 perlu kaji undang-undang lapuk

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengecam pihak yang menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Beliau berkata, pihak yang menentang Akta 355 seharusnya mengkaji undang-undang ciptaan manusia di negara ini yang disifatkan sebagai lapuk.

“Daripada mencemuh usaha kita, lebih baik mereka bincang undang-undang lapuk yang masih menggunakan tali gantung, undang-undang rimba yang tidak mengambil kira siapa yang menjadi saksi.

“Ini yang patut dibincang mereka, bukannya mempertikai undang-undang Islam dengan kejahilan,” katanya sewaktu berucap di Himpunan RUU 355 di Padang Merbok malam tadi.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Marang itu juga berkata, Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah hanya menyentuh orang Islam sahaja.

“(Namun) Kita mesti ada Mahkamah Syariah yang tinggi tarafnya. Atas kewajipan ini kita perlu tunaikan tanggungjawab (dalam melakukan pindaan itu),” katanya.

Menurut beliau juga, sejak merdeka lagi kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk Pas dan Umno dalam isu melibatkan orang Islam berlaku.

“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya.

Justeru katanya, kerjasama sedemikian perlu dilakukan pada masa ini berhubung Akta 355 yang dicadangkannya.

“Kita hanya mengulangi sejarah lalu yang ditulis dengan tinta emas oleh pejuang kemerdekaan negara kita,” katanya.

Pada 24 Nov tahun lepas, Abdul Hadi membawa usul Rang Undang-undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Antara yang hadir dan berucap pada himpunan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, wakil-wakil persatuan bukan Islam dan tokoh-tokoh pendakwah.

 

COMMENTS

Wordpress (0)