Malaysia Dateline

Hadi rosakkan usaha keras Fadzil Noor dan Nik Aziz untuk Pas

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad mendakwa perjuangan Pas ketika ini tidak lagi menimbulkan perasaan kagum dan hormat seperti dahulu.

Beliau berkata, ia bermula selepas parti Islam itu diterajui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah merosakkan segala usaha keras almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dakwanya, ketika di dalam Pakatan Rakyat (PR), pemimpin Pas telah dipengaruhi Datuk Seri Najib Razak dan pakar strategik Umno Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan mereka keluar dari gabungan itu dan bertanding secara sendirian.

“Walaupun secara logiknya orang akan kata bertanding sendirian merugikan, tapi mereka terpengaruh, masuk dalam perangkap Umno-BN.

“Strategi Umno-BN ialah kalau di Pantai Barat, bila Pas bertanding bersendirian, maka undi Pakatan Harapan (PH) akan pecah. Dan kerana itu BN akan menang, Pas menjadi alat untuk memecahkan undi PH di Pantai Barat.

“Tetapi BN gagal kerana kesan Bersatu dan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad. Di Pantai Timur pula, bila undi PH berpecah, Pas akan kalah sebab undi Pas akan kurang kerana penyokong PR takkan undi Pas,” katanya memetik wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu mengulas keretakan antara Umno, Pas dan Bersatu, Khalid berkata Muafakat Nasional di Pantai Timur hanyalah cakap-cakap kosong kerana Pas dan Umno di Kelantan dan Terengganu tidak berapa baik.

Kata Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, Pas tidak selesa dengan Umno kerana cuba untuk menguasai mereka dan ingin menjadi abang besar. Kerana itu Pas lebih selesa dengan Bersatu.

Hubungan antara tiga parti itu juga dikatakan amat sukar kerana mereka bertiga mahu kongsi kerusi yang sama.

“Mereka nak bertanding di kerusi Melayu, rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti amat sukar kerana Umno terpaksa menyerahkan banyak kerusi kepada Bersatu, ini menjadi masalah yang besar,” katanya.

Khalid berkata, dalam hal kerjasama ketiga-tiga parti itu, Pas cuba mencari formula untuk menyatupadukan Islam dan berharap dapat mewakili bukan sekadar di Pantai Timur tetapi di peringkat nasional.

“Tindakan sebegitu adalah sukar kerana hilang mesej mereka, orang dah tanya Pas berjuang untuk apa?

“Islam yang ingin dimartabat akhirnya hancur, nak menyatupadukan Islam, akhirnya kabur. Akhirnya kita akan lihat pada masa ini Umno bersaing dengan Bersatu dan Pas,” katanya lagi.