Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Hadi sedia disiasat SPRM untuk bersihkan Pas daripada isu rasuah

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu.

Beliau berkata terpulang kepada SPRM menyiasat mana-mana individu atau PAS dan pihaknya bersedia memberi kerjasama bagi melancarkan proses siasatan sekali gus menjadikan Pas sebuah parti yang bersih daripada isu rasuah.

Bagaimana pun beliau berkata siasatan itu perlu dilaksanakan secara adil dan mendesak SPRM turut menyiasat sumber kewangan yang diterima parti-parti lain khususnya pada pilihan raya umum yang lalu.

“Kami boleh dedahkan sumber kami tapi parti lain pun perlu dedahkan…ada parti yang takut (untuk dedahkan) …tapi kami tak takut.

“Jangan pelik dari mana Pas dapat duit…jelas ia dari poket kami sendiri…orang kami sendiri yang bertungkus lumus kerja untuk menyumbang derma (kepada parti),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPRM membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa individu bagi menyiasat dakwaan itu.

Sebelum ini, artikel yang dilapor oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta ‘dipercayai’ dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

– BERNAMA