Malaysia Dateline

Hadi silap, DAP menang di kawasan bandar kerana sokongan semua kaum termasuk Melayu

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang silap jika mengatakan DAP hanya mendapat sokongan pengundi bukan Islam sahaja ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, DAP sebenarnya mewakili suara orang Melayu dan bukan Melayu kerana menurut Bancian 2020, tiga per empat rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar adalah kebanyakannya dari kategori etnik bumiputera.

Ini bermakna kira-kira 14.1 juta orang atau 62.6 peratus penduduk bandar adalah bumiputera.

Ia diikuti oleh golongan etnik Cina pada 6.4 juta orang (28.6 peratus), etnik India pada 1.8 juta orang (8.1 peratus), dan lain-lain kumpulan etnik pada 0.2 juta orang atau 0.7 peratus.

Kata Kit Siang, tidak mungkin untuk partinya memenangi 12 kerusi Parlimen di bandar jika DAP tidak menerima sokongan semua kumpulan kaum di kerusi-kerusi ini.

“12 kerusi Parlimen di mana semua lawan kepada DAP kehilangan deposit mereka adalah Tanjong, Bagan, Bukit Gelugor, Bukit Bendera, Ipoh Barat, Batu Gajah, Segambut, Kepong, Cheras, Bukit Bintang, dan Seputeh.

“DAP juga telah menang di 15 daripada 20 kerusi dengan jumlah majoriti terbesar. Didahului dengan kerusi timbalan pengerusi kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, yang telah menang di kerusi Damansara dengan majoriti sebanyak 124,619 undi.

“Sekali lagi, Hadi amat salah. DAP mewakili bukan sahaja suara orang bukan Melayu dan bukan Islam, sebaliknya, DAP mewakili rakyat Malaysia termasuklah orang Melayu dan orang Islam,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Selain itu, DAP menang 19 kerusi dengan majoriti besar lebih dari 43,882 undi di: Subang, Klang, Kota Raja, Bangi, Seputeh, Bukit Gelugor, Kepong, Iskandar Puteri, Segambut, Puchong, Bukit Mertajam, Ipoh Barat, Cheras, Batu Gajah, Bagan, Pandan, Kota Melaka, Tanah Merah, dan Ipoh Timur.

Justeru kata Kit Siang, mustahil untuk DAP menang sebegitu banyak kerusi Parlimen dengan majoriti gergasi sebegini tanpa sokongan daripada semua kumpulan etnik.

Maklumat dari Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan 21,173,638 orang rakyat Malaysia telah mengundi dalam PRU15 berbanding dengan 14,940,624 orang pengundi dalam PRU14 sebelum ini.

Baca juga: Penyokong PN didakwa melucah di media sosial