Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali “bersimpati” dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mengikuti perkembangan partinya sendiri.
Ini kerana, kata timbalan presiden PKR itu, sebaik saja pengumuman mengenai dua pilihan raya kecil yang akan diadakan 18 Jun depan, pihaknya telah bertemu dua kali dengan kepimpinan PAS.
“Kadang-kadang saya simpati dengan Ustaz Hadi ini, mungkin dia tidak tahu apa yang berlaku dalam parti,” kata Azmin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran program #SmartSelangor Food Stamp 2016 di Sungai Besar, lapor Malaysiakini.com.
Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas penafian Abdul Hadi berhubung pertemuan beliau dengan pemimpin parti itu.
Hadi beberapa hari lalu memaklumkan Azmin tidak pernah mengadakan perbincangan dengannya berkenaan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan dijalankan serentak pada 18 Jun ini.
Mengulas lanjut, anggota parlimen Gombak itu mengakui telah bertemu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.
Azmin berkata melalui pertemuan itu beliau percaya pimpinan kanan Pas itu akan memaklumkan maklumat perbincangan berkenaan kepada Hadi.
“Saya telah bertemu dua kali dengan pimpinan tinggi Pas. Semalam saya ada perjumpaan dengan pemimpin tertinggi Amanah. Ia berjalan dengan baik dan positif. Saya juga telah berbincang dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) politik utama negara.
“Saya juga bertemu dengan ketua menteri Pulau Pinang dan perbincangan cukup positif.
“Jadi, saya percaya pimpinan tertinggi ini akan melaporkan kepada presiden,” kata Azmin.
Bagaimanapun, Adun Bukit Antarabangsa itu berkata beliau tidak dapat memuktamadkan keputusan berkenaan.