Hadi tangguh usul RUU, DAP syak Pas-Umno bersekongkol

Hadi tangguh usul RUU, DAP syak Pas-Umno bersekongkol

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, mempersoal keikhlasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Ia susulan tindakan Hadi meminta agar usul pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dibawa oleh beliau sendiri di Dewan Rakyat semalam ditangguhkan ke mesyuarat akan datang, iaitu pada 17 Oktober depan.

Mengikut pandangan perundangan, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan sesebuah negeri mempunyai hak untuk melaksanakan hukuman jenayah Islam di peringkat negeri.

Zairil dalam satu kenyataan semalam dipetik berkata, tindakan Hadi menangguhkan usulnya sendiri membuktikan wujud persekongkolan yang ketara di antara Pas dengan Umno.

Ini adalah kerana Hadi telah mengusulkan rang undang-undang itu dalam tiga mesyuarat berturut-turut, dan ia hanya dibenarkan untuk dibahas pada sidang Parlimen kali ini, tambah beliau.

Justeru, katanya, tidak ada sebab untuk Presiden Pas itu menundanya selama lima bulan lagi.

“Mengapa Hadi tidak teruskan sahaja dengan bacaan dan perbahasan seterusnya, lebih-lebih lagi apabila semua Ahli Parlimen Pas hadir dalam mesyuarat tadi (semalam)?.

“Tindakan Hadi itu menimbulkan persoalan besar sama ada Hadi dan Pas benar-benar ikhlas mahu membenarkan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan,” katanya seperti dilapor Roketkini.

Sejak Merdeka, Umno sebagai teraju gabungan pemerintah negara tidak pernah bersetuju untuk melaksanakan hudud, atau membenarkan ruang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang jenayah Islam itu dibahaskan.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menambah, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, mempercepatkan usul Hadi juga menimbulkan keraguan banyak pihak.

“Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku. Dalam keadaan ramai Ahli Parlimen BN dari parti MCA dan MIC sendiri tidak tahu mengenai usul yang dibawa oleh Azalina tadi, jelas bahawa hanya Umno dan Pas yang mengetahuinya.

“Oleh itu, nampak sangat apa yang berlaku hari ini merupakan wayang politik semata-mata dan bukannya usaha jujur untuk melaksanakan apa yang selama ini didakwa Pas sebagai tuntutan agama,” ujarnya.

Sebelum ini, usul meminda Akta Mahkamah Syariah itu pernah dicadangkan oleh Hadi pada 7 April dan 17 Jun tahun lalu di Dewan Rakyat tetapi ia ditentang oleh ahli-ahli Parlimen Umno-BN dan gagal dibahaskan

TAGS