Hadi yakin Pas boleh menang 37 kerusi Parlimen

Hadi yakin Pas boleh menang 37 kerusi Parlimen

Walaupun pilihan raya umum (PRU) kali ini menggunakan persempadanan kawasan baharu dan status Pas yang berada diluar blok pembangkang, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin partinya akan memenangi 37 kerusi Parlimen.

Jumlah tertinggi dalam sejarah Pas menyertai PRU sejak 1955 itu dipetik daripada wawancara Sinar Harian hari ini.

Abdul Hadi berkata, angka tersebut termasuk kerusi Parlimen yang Pas menangi pada PRU 2013 dan kerusi yang dikuasai PKR.

“Kita tolak daripada 21 kerusi yang sudah kita menang dalam PRU yang lalu (2013) dan 27 kerusi yang pernah kita menang pada tahun 1999.

“Ini kawasan yang kita ada asas yang kukuh kalau pilihan raya diadakan di lapangan dan padang yang sama rata,” katanya.

Beliau yang juga bertanding mempertahankan kerusi Parlimen P37 Marang memberitahu, Pas juga mengambil kira 16 kerusi yang dimenangi PKR dengan komposisi pengundi Melayu Islam.

“Jadi, 16 kerusi ini dengan 21 jadi 37 kerusi dan di sana ada kawasan yang Parlimen kita kalah, tetapi ‘state’ kita menang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan Sinar Harian tentang jumlah kerusi Parlimen dan Dun yang Pas jangka boleh dimenangi pada PRU-14 ini.

Buat pertama kali, Pas yang kekal bersendirian pada PRU-14 bertanding paling banyak kerusi Parlimen dalam sejarah PRU negara ini dengan 158 kerusi kesemuanya.

Paling banyak Pas meletakkan calon di Selangor dan Perak masing-masing 21 calon diikuti Johor (20), Kedah (15) serta Kelantan dan Pahang masing-masing 14 kerusi.

Walau bagaimanapun, sejarah pilihan raya menyaksikan Pas mengalamai kekalahan besar apabila bersendirian.

Kemenangan besar Pas pada PRU 1999 dan PRU 2013 berlaku ketika Pas bekerjasama dengan blok parti pembangkang.

Berikut rekod kerusi Parlimen yang dimenangi Pas sejak PRU 1955:

1955 : (sendirian) : 1
1959 : (sendirian) : 13
1964 : (sendirian) : 9
1969 : (sendirian) : 12
1974 : (menyertai BN) : 14
1978 : (keluar BN) : 5
1982 : (sendirian) : 5
1986 : (sendirian) : 1
1990 : (menyertai APU/S46) : 7
1995 : (menyertai APU/S46) : (sendirian) : 7
1999 : (meyertai BA) : 27
2004 : (sendirian) : 7
2008 : (menyertai PR) : 23
2013 : (menyertai PR) : 21

*Singkatan:
APU – Angkatan Perpaduan Ummah
S46 – Semangat 46
PR – Pakatan Rakyat

 

CATEGORIES