Malaysia Dateline

Hadi yakin Pas-Umno masuk Putrajaya ikut ‘pintu depan’

Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menaruh keyakinan akan menguasai pentadbiran Putrajaya bersama Umno mengikut ‘pintu depan’.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, penyatuan Umno-Pas akan mampu kembali ke pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan tersebut.

“Insya-Allah, kita masuk ke Putrajaya ikut pintu depan, melalui pilihan raya. Kita tak masuk ikut pintu belakang, kita bangkit atas kesedaran.

“Insya-Allah, muafakat kita akan berlangsung dengan baik,” dipetik dari lidah rasmi Pas, Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, kelmarin.

Abdul Hadi turut mengingatkan, ahli-ahli Pas dan Umno agar menjaga perpaduan dengan menghentikan perbalahan.

Menurutnya, kekalahan Umno dan Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, perlu dimuhasabahkan.

Justeru, tambah Abdul Hadi lagi, sebagai orang Islam tidak perlu merasa terhina selagi bersama dengan pegangan Islam.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan pada 15 Oktober lalu mendakwa bekas menteri Hishammuddin Hussein menggerakkan kempen membentuk kerajaan baru tanpa AMANAH dan DAP.

Kempen untuk membentuk kerajaan ikut ‘pintu belakang’ bersama beberapa Ahli Parlimen PH itu didakwa didalangi bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong itu pada 16 Oktober lalu menafikan dakwaan tersebut dan turut menolak dakwaan beliau menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.