Malaysia Dateline

Hadiah hari lahir terbaik untuk Steven Sim

Selepas sentiasa dilihat membantu orang Melau yang memerlukan, semalam ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menceritakan bagaimana beliau membantu seorang Cina pula yang selama ini dibantu oleh jiran-jirannya berbangsa Melayu.

Beliau membantu Uncle Ah Hock, membina rumah baharu selepas rumah yang didiaminya selama ini sudah usang, kayunya reput, lantai tanahnya sering basah, bumbung zinknya berlubang-lubang, boleh roboh bila-bila masa. Lebih menyedihkan lagi, rumah tiada bekalan api dan air.

Uncle berumur 75 tahun, sebelah matanya sudah buta. Siangnya separuh malap, malamnya disinari cahaya bulan dan lampu pelita.

Hujan ditakung menjadi bekalan air, di sanalah dia mencuci dan membersih. Tandas? Rumah Uncle tiada tandas. Dia terpaksa membuang hajat di semak belakang rumah, cerita Steven melalui Facebook beliau.

“Uncle tidak mampu untuk bekerja lagi. Jiran-jirannya yang berbangsa Melayulah yang memberi makanan kepada Uncle.

“Maaf terpaksa sebut bangsa sebab saya begitu terharu orang Malaysia bantu membantu tak kira kaum dan agama,” kata Steven lagi.

Menurut Steven, ia bermula apabila beliau menerima sekeping gambar tentang Uncle Ah Hock yang menyedihkan itu.

“Bila saya menerima foto keadaan Uncle yang menyedihkan itu, saya terus melawat Uncle dan mendapatkan kebenaran Uncle untuk membina semula rumahnya.

“Saya bertekad untuk menyiapkan pembinaan dalam masa paling singkat.

“Di musim hujan dan dengan keadaan wabak ini, saya tak sanggup Uncle tinggal walaupun sehari lagi dalam rumah usang itu. Kos bina rumah, saya guna wang sendiri,” cerita ahli parlimen DAP, parti yang sentiasa dikecam oleh golongan tertentu itu.

Menurut Steven, hampir setiap hari beliau turun memastikan kerja-kerja berjalan lancar.

“Akhirnya, syukur, rumah baru Uncle berjaya disiapkan dalam masa 9 hari.

“Di rumah baru, saya bantu pasang bekalan lektrik dan pili air.

“Selepas ini, Uncle tak payah hidup dalam gelap dan menakung air hujan lagi, tak payah membuang hajat di semak belakang rumah lagi. Rumah barunya sudah ada tandas moden,” ceritanya.

Pada Ahad yang lalu, mereka makan kecil-kecil di rumah baru Uncle Ah Hock.

“Makan stimbot sebab Uncle kata last sekali dia makan stimbot ialah pada “zaman Jepun”. Dia rindu sangat-sangat.

“Hari ini, 13 Mei ialah besday saya. Walaupun PKP sudah bermula, tapi sekurang-kurangnya saya sempat celebrate bersama Uncle Ah Hock.

“Jujur nak kata, saya pun sudah kehabisan dana. Gaji bulan ini sudah habis guna untuk bina semula rumah Uncle dan buat kerja kawasan.

“Hari ini, 13 Mei adalah besday saya. Isteri kata, takpa, setiap tahun besday saya terima hadiah. Besday tahun ini giliran kita yang beri hadiah pula.

“Rumah baru untuk Uncle Ah Hock ialah hadiah harijadi paling best buat saya tahun ini,” cerita Steven melalui facebooknya.