Malaysia Dateline

‘Hadiahkan’ RM100 juta buat Najib, PH mahu kaji semula MoU dengan kerajaan

Keputusan kabinet sebulat suara telah menerima permohonan untuk ‘menghadiahkan’ sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Ahli Parlimen Pekan yang dianggar bernilai RM100 juta memaksa pembangkang untuk mengkaji semula persefahaman yang wujud.

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataanya petang ini berkata keputusan itu tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada Pakatan Harapan dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.

Bahkan katanya, tindakan Kabinet untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.

“Di saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak yang masih tidak jelas nasib mereka, anak-anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa.

“Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB,” kata beliau.

Malah katanya, Ahli Parlimen terbabit sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri.

“Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini,” tegas beliau.

Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.