Hadir ke program BN permulaan politik matang, kata Hadi

Hadir ke program BN permulaan politik matang, kata Hadi

Abdul Hadi dan Shabery Cheek dalam program Pelepasan Tukun ‘Ring To Reef’ (R2R) dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan dan Petronas di perairan Pulau Kapas.

Kehadiran ke majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan Kerajaan Barisan Nasional (BN), akui Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu turut berterima kasih kepada Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut, lapor Bernama.

“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

“Kerjasama hari ini (Pas dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang dileraikan di perairan Pulau Kapas, kelmarin.

Ditanya sama ada kerjasama Umno dan Pas itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak tertentu, Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

“Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

“Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ini warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik ‘hand brake’ dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya,” katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin Shah daripada Amanah berkata, Hadi seolah-olah merestui sikap serta tindakan kerajaan selama ini menangani masalah-masalah nelayan apabila menerima jemputan itu.

Beliau berkata, program itu semata-mata untuk menarik sokongan dan simpati penyokong Pas di Marang khususnya nelayan yang diabaikan begitu lama.

Beliau melahirkan rasa simpati kepada Hadi kerana tela diperalatkan Umno untuk keuntungan politik dalam menghadapai pilihan raya akan datang.

“Saya sebenarnya bersimpati dengan Presiden Pas yang telah di ‘jemput’ oleh Umno untuk keuntungan politik.

“Mungkin Datuk Seri Hadi tidak dimaklumkan sepenuhnya masalah utama nelayan yang tiada pembelaan daripada kerajaan sewajarnya selama ini,” ujarnya lagi yang jelas kehadiran Abdul Hadi dalam program itu tidak diiringi pimpinan utama Pas lainnya dalam majlis diadakan itu,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)