Malaysia Dateline

Hadir upacara agama jadi kluster baharu Covid-19 di Kedah

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan satu kluster baharu kebanyakannya bertumpu di Mukim Tawar, Kedah membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 53 tahun.

Menurutnya, peniaga tersebut iaitu kes ke-9113 mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang telah berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Kes pertama bagi kluster Tawar itu menjalani saringan Covid-19 pada 9 Ogos dan dikesan positif virus berbahaya itu pada 11 Ogos lalu.

“Upacara ini dianggarkan telah dihadiri seramai 30 orang.

“Pada 8 Ogos 2020, beliau mula mengalami sakit dada serta gejala demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Beliau berkata, seramai 86 kontak rapat kepada kes ke-9113 telah disaring termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak sehingga hari ini.

“Daripada jumlah ini, sembilan kes dikesan positif Covid-19, 21 negatif dan 56 masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes baharu kluster ini adalah ahli keluarga beliau, di mana tiga kes didapati mempunyai gejala.

“Sembilan daripada kes positif termasuk kes pertama mempunyai sejarah menghadiri upacara sembahyang kematian tersebut,” jelas Dr Noor Hisham lagi.