Malaysia Dateline

Hadkan RM100 satu keluarga tidak cukup, syarat JPM menyusahkan

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membidas tindakan kerajaan yang meletakkan ‘limit’ penggunaan dana yang diberikan kepada pembangkang dengan menetapkan perbelanjaan untuk sebuah keluarga hanya berjumlah RM100.

Lim berkata demikian merujuk kepada kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang menyenaraikan barangan keperluan yang patut dibelanjakan oleh setiap Ahli Parlimen menggunakan RM300,000 yang diberikan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Beliau berkata, syarat-syarat yang dikenakan dalam penggunaan dana yang diberikan kerajaan itu sebagai renyah dan menyusahkan.

Malah katanya, harga siling RM100 yang hanya boleh dibelanjakan untuk sebuah keluarga juga menyebalkan.

“Sebuah keluarga yang mempunyai sembilan orang anak sudah semestinya memerlukan belanja lebih dari RM100 berbanding sebuah keluarga yang mempunyai satu anak.

“Syarat-syarat yang dikenakan seolah-olah tidak mahu rakyat mendapat bantuan!

“Tambahan pula, melihat kepada keputusan pihak JPM, perbincangan teliti perihal logistik di dalam pelaksanaan pemberian bakul makanan ini seolah-olah tidak ada,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, JPM menerusi kenyataannya menyenaraikan 13 barangan keperluan untuk diletakkan ke dalam program bakul makanan yang berjumlah RM100.

Antaranya: Beras, minyak masak, gula pasir, tepung gandum, susu pekat, garam halus, bihun, kicap manis, sos cili, sardin, teh, kopi dan biskut.

Tulis kenyataan itu, kadar nilai RM100 bagi 13 barangan itu adalah termasuk kos pengangkutan, pembungkusan, upah dan percetakan (sticker).

Sementara itu Lim berkata, pihak JPM sewajarnya memberikan kuasa budi bicara kepada Ahli Parlimen untuk menggunakan dana tersebut supaya dapat dibelanjakan mengikut kesesuaian keadaan masyarakat di sesebuah kawasan Parlimen.

Beliau turut mencadangkan agar peruntukan tersebut digunakan dengan menyediakan baucar beli belah dan melakukan kerjasama dengan kedai-kedai runcit terpilih di dalam kawasan Parlimen.

Menurutnya, senarai yang dikeluarkan JPM jelas menunjukkan betapa terpisahnya pihak-pihak atasan dengan keluh kesah dan kesusahan yang rakyat alami sekarang.

“Melalui pelaksanaan ini, individu yang memerlukan boleh memilih apa yang mereka boleh beli dan sekiranya sesebuah keluarga tersebut mempunyai ahli yang ramai, lebih banyak baucar beli belah boleh diberikan kepada mereka.

“Jikalau Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh beri mereka yang terkesan dengan baucar beli belah, mengapa Ahli Parlimen tidak boleh melakukan perkara yang sama?

“Sudah terang lagi bersuluh, spesifikasi barangan keperluan ini dikarang ruangan pejabat berdingin hawa dan dari mereka yang mempunyai gaji yang berterusan,” katanya lagi.