Malaysia Dateline

Haiwan turut hairan dengan LGBT, kata Mufti Perlis

Perarakan penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kuala Lumpur semalam bukan sahaja bertentangan dengan syariat Islam dan naluri insani, malah turut ‘menghairankan haiwan’.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, manusia memang berhak berkumpul mempertahankan hak mereka selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan naluri insani.

“Manusia biasanya berkumpul dan melaungkan perasaan untuk menuntut hak yang Tuhan berikan tapi telah dicabuli atau mencari kebaikan demi membela fitrah insani. Malangnya bagi golongan songsang mereka berhimpun dan menjerit menuntut supaya kesongsangan hidup mereka diiktiraf.

“Mereka bukan sahaja mendedahkan keaiban diri bahkan mendedahkan betapa mereka itu ‘cacat’ mencacatkan fitrah. Perarakan seperti itu bukan sahaja menghairankan manusia yang menuruti fitrah yang Allah tetapkan, tapi ia juga boleh menghairankan alam haiwan yang sentiasa berada atas ketetapan ciptaan Tuhan,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Semalam, penyokong LGBT melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi sekali gus dilihat mencemarkan himpunan dan perarakan untuk meraikan sambutan Hari Wanita Sedunia.

Penyokong LGBT antara lain menuntut penghapusan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Plakad bertulisan jawi turut dinaikkan dalam perarakan LGBT