Malaysia Dateline

Haji: Bulan Sabit Merah Arab Saudi pertingkatkan persediaan

Bulan Sabit Merah Arab Saudi mempertingkatkan persediaan bagi musim haji tahun ini menerusi perancangan operasi yang lebih komprehensif bertujuan memberi perkhidmatan bantuan kecemasan berkualiti tinggi kepada para jemaah, menurut laporan Saudi Press Agency (SPA).

SPA melaporkan lebih 36 pusat bantuan tetap dan 89 pusat sementara disertai lebih 2,700 petugas dalam semua bidang kepakaran kecemasan dengan disokong oleh 370 ambulans yang dilengkapi peralatan perubatan serta teknologi paling canggih, telah diperuntukkan oleh agensi berkenaan.

“Perkhidmatan bantuan kecemasan ini ditempatkan di tengah-tengah Makkah, Masjidil Haram, Madinah, Mina, Arafah dan Muzdalifah,” menurut SPA.

SPA melaporkan agensi bantuan perubatan kecemasan itu turut menyediakan pelbagai bentuk peralatan dan tenaga kerja sepanjang musim haji, sama ada dalam situasi cemas atau bencana.