Malaysia Dateline

Hajiji dan isteri positif Covid-19, dirawat di hospital

Ketua Menteri Sabah yang baru dilantik, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor disahkan postif Covid-19 dan kini mendapat rawatan di Queen Elizabeth Hospital (QEH) di Kota Kinabalu.

Perkara ini dimaklumkan oleh Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohamed Sunoh dalam satu kenyataan malam tadi.

“Hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif.

“Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kini sedang menjalani rawatan di Queen Elizabeth Hospital (QEH) bagi rawatan seterusnya,” katanya malam tadi.

Keadaan kesihatan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah yang berusia 65 tahun itu “baik dan stabil.”

Namun begitu, Haji terus menjalankan tugasnya di hospital menerusi panggilan telefon dan sidang video (video conferencing).

“Kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.

“YAB mengajak seluruh rakyat Sabah agar bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada Covid-19,” katanya lagi.

Sebelum ini tersebar senarai nama Hajiji dan isteri, Julia Salag positif Covid-19 dalam sebuah hospital namun Menteri Kewangan II Sabah, Masidi Manjun menafikan perkara itu.

Sementara itu, berita Hajiji yang baru sahaja dilantik sebagai ketua menteri positif Covid-19 diterima dengan sedih.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, tambah menyedihkan lagi apabila Sabah menjadi negeri yang paling teruk terkena wabak itu selepas pilihan raya negeri diadakan baru-baru ini.

Semua sekolah di negeri itu telah diarahkan tutup oleh Kementerian Pendidikan malam tadi.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu meminta semua pihak yang positif Covid-19 agar memaklumkan perkara itu kepada orang ramai.

Kataya, ia penting bagi mengelakkan orang ramai daripada dijangkiti penyakit ini akibat berinteraksi dengan mereka.

Dalam masa yang sama katanya bagi pihak yang disahkan positif Covid 19 juga hendaklah mematuhi segala arahan dan peraturan yang diputuskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya pegawai-pegawai perubatan yang merawat mereka.

“Semoga dengan kerjasama yang dilakukan ini dapat membantu pihak Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan wabak ini dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.