Malaysia Dateline

Hajiji Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar timbalan

Teka-teki berhubung siapa teraju baharu kerajaan negeri Sabah terjawab hari ini selepas tiga hari berlabuhnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor, mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu jam 10.32 pagi tadi.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, di Kota Kinabalu.

Hajiji, 65, berasal dari Kampung Serusop, Tuaran yang berlatarbelakang pendidikan ekonomi dari Amerika Syarikat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman sejak 1990.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan, menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri II.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam pula menjadi Timbalan Ketua Menteri III.

Dalam masa sama, Bung Moktar yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan turut memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Jeffry juga dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan, manakala Joachim sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, dilantik sebagai Menteri Kerja Raya Sabah. ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, pula memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Masidi dan Jahid kedua-duanya berstatus Menteri Kanan Kabinet Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai PN, BN dan PBS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRN Sabah apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri itu.