Malaysia Dateline

Hajiji umum dirinya Ketua Menteri Sabah baharu

Kemelut bagi menamakan Ketua Menteri berakhir apabila Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Perkara itu diumumkan dalam sidang media di The Magellan Hotel hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman itu mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah esok pada pukul 10.30 pagi.

“Kami bersetuju sebulat suara bahawa mereka (GRS) telah menamakan saya sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Kita dimaklumkan akan mengangkat sumpah besok pagi,” kata Adun Bersatu itu.

Pada masa sama beliau turut memaklumkan barisan Kabinet akan diatur selepas beliau mengangkat sumpah pada esok.

Dalam PRN Sabah kali ini, GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan tujuh kerusi.

Hajiji menang selesa dengan majoriti 3,099 undi, sekali gus mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1990.

Manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi, dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memenangi satu kerusi.