Malaysia Dateline

Hak PM buat rombakan kabinet, kata Mahfuz

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai hak prerogatif untuk membuat rombakan Kabinet sekiranya beliau mendapati menteri dan timbalan menterinya tidak berupaya menjalankan tugas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau sendiri tiada masalah jika namanya terlibat dalam mana-mana sesi rombakan yang mungkin akan dilaksanakan selepas ini.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai pertimbangan sendiri terhadap barisan Kabinet dilantiknya dan sebagai golongan yang dipertanggungjawab, semua menteri atau timbalan menteri harus sentiasa membaiki kelemahan.

“Kita pun tak tahu apa pertimbangan Perdana Menteri kepada seseorang menteri dan timbalan mereka, sama ada layak untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab atau pun tidak, jadi terserah kepada Tun (Mahathir).

“Tetapi Perdana Menteri kata dia puas hati untuk tempoh setahun dengan 50 peratus pencapaian mereka (barisan Kabinet), namun saya fikir kami tak pernah rasa kami sudah hebat dan banyak lagi perkara yang harus kita lakukan,” katanya dalam Program Jelajah Jejak Asnaf dan Iftar Perdana Parlimen Pokok Sena pada Khamus dipetik Utusanonline.

Mahfuz mengulas berhubung kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang mencadangkan Menteri, Menteri Besar dan Exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela.

Menulis di blognya, Kadir berkata, tempoh setahun adalah cukup lama bagi mereka yang dilantik untuk mempelajari cara melaksanakan tugas untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Menurut Kadir, selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kenyataan itu memberi kesan kepada kerajaan, Mahfuz berkata, perkara berkenaan tidak menjadi masalah kerana semua pihak berhak berbuat demikian.

“Itu hak kebebasan yang boleh dibuat mana-mana pihak, tidak menjadi masalah kerana yang penting Perdana Menteri menentukan akhirnya,” ujarnya.