Hak protes secara aman wajib dihormati

Hak protes secara aman wajib dihormati

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin

Malaysia Baharu yang diterajui Pakatan Harapan wajar mempunyai toleransi hak demokrasi bagi mana-mana pihak untuk bersuara, berhimpun dan protes secara aman, demikian menurut Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Malah katanya, hak demokrasi itu termaktub dan dijamin oleh perlembagaan dan ia wajar dihormati oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada penahanan pelajar yang melakukan protes di pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia ekoran menterinya Dr Maszlee Malik menerima jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Saya masih tidak pasti cerita sebenar penangkapan dan penahanan itu. Jika benar mereka ditahan kerana memprotes pelantikan itu, saya amat tidak bersetuju dan menentang penahanan itu. Yang terbaru saya difahamkan mereka yang ditangkap telah dibebaskan dengan jaminan,” kata Hanipa di Facebooknya.

Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik

Sementara itu, Maszlee dalam kenyataanya mengingatkan orang ramai khususnya mahasiswa agar tidak melakukan protes atau demonstrasi di dalam bangunan kerana ia melibatka isu keselamatan.

“saya juga pohon agar duduk bantah ini jangan dibuat di dalam bangunan kerana ianya melibatkan isu keselamatan,” katanya

Malah beliau percaya dengan membenarkan mahasiswa ini berkumpul dan membuat demonstrasi aman adalah bukti pertama pihaknya meraikan kebebasan dan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menjunjung demokrasi.

“Saya sedang meneliti mengapa mereka ditangkap malam tadi kerana saya telah memaklumkan agar pihak berkuasa tidak menangkap demonstran duduk bantah ini.

“Saya akan menyiasat lanjut kes ini dan berharap semua mahasiswa yang terlibat berada dalam keadaan baik dan mendapat hak yang sewajarnya,” katanya.

Satu bantahan aman dilakukan oleh beberapa mahasiswa di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya malam tadi sebagai tanda protes dan menggesa Maszlee meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Susulan itu, difahamkan terdapat mahasiswa didakwa telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan hari ini.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS