Hak Sultan Muhammad V letak jawatan, kata MB Kelantan

Hak Sultan Muhammad V letak jawatan, kata MB Kelantan

Kerajaan Negeri Kelantan menerima dengan terbuka tindakan Sultan Muhamad V, melepaskan jawatan Yang Di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan tindakan yang dibuat oleh Sultan Muhamad ke V itu sebagai hak baginda.

“Itu terpulang kepada baginda, kita terima lah. Itu hak sebagai Sultan yang dipilih dan baginda telah mengikut peraturan perlembangaan, pertabalannya dahulu juga mengikut perlembagaan dan secara rasmi,” katanya kepada pemberita ketika diminta memberikan reaksi berhubung perkara berkenaan.

Ahmad yang ditemui selepas memberikan kuliah di Masjid Kampung Laut, di sini malam tadi menjelaskan, sebagai ketua kerajaan Kelantan beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Protokol Istana untuk tindakan selanjutnya.

“Kami akan ambil langkah sewajarnya untuk persiapan dan sebagainya,” katanya dipetik Astroawani.

Ketika ditanya sama ada Sultan Muhammad V ada menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sewaktu bersamanya semasa menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Jumaat lepas, Ahmad memaklumkan baginda bersikap seperti biasa dan tidak menitahkan apa-apa perkara.