Malaysia Dateline

HAKAM: Darurat dicabar kerana jelas langgar Perlembagaan Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan gagal menyedari bahawa Proklamasi Darurat dicabar di mahkamah kerana ordinan itu jelas melanggar undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (HAKAM), Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berkata, Artikel 150 Perlembagaan menetapkan agar proklamasi dan ordinan yang dibuat di bawahnya perlu dibentangkan di dalam Parlimen.

Namun katanya, kuasa Dewan Rakyat untuk membuat undang-undang telah disekat oleh kerajaan dengan penggantungan Parlimen

“Ini bermakna bahawa Eksekutif kini mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk memerintah berdasarkan arahan dan keputusan ketua negara.

“Jadi sebagai contoh, semua bilion ringgit wang yang akan dibelanjakan tidak akan diteliti oleh wakil rakyat.

“Yang keduanya, Takiyuddin tidak menyedari bahawa tindakan mengkritik kerajaan yang melakukan kesalahan dalam pentadbirannya adalah tunggak utama menunjukkan demokrasi negara sedang berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Takiyuddin berkata terdapat sesetengah pihak yang cuba meraih populariti dalam kalangan rakyat apabila Proklamasi Darurat yang diisytiharkan kerajaan, dicabar dan dipertikaikan.

Beliau turut menyeru agar Majlis Peguam Malaysia dan pengamal undang-undang supaya bertindak mengikut lunas undang-undang yang termaktub, termasuk dalam memberikan kefahaman serta pencerahan kepada masyarakat.

Sementara itu, Gurdial berkata, sekarang adalah tugas mahkamah untuk menilai kewajaran kerajaan menggantung Parlimen.

Pada akhirnya beliau berkata, peranan badan kehakiman bebas adalah penting untuk meneliti tindakan kerajaan dalam batas kuasa undang-undang.

“Dia (Takiyuddin) gagal menyedari bahawa akses kepada keadilan (melalui mahkamah) telah lama diakui oleh Mahkamah Persekutuan kita sebagai hak asasi.

“Dia juga gagal menyedari bahawa hak-hak asasi tidak dapat ditangguhkan dengan sengaja seperti dalam kes ini.

“Akhirnya kami mengatakan dengan penuh hormat, menteri telah memperlihatkan penghinaannya terhadap kedaulatan undang-Undang, perlembagaan dan proses undang-undang yang telah kami tetapkan,” katanya lagi