Malaysia Dateline

Hakikatnya RM100 juta untuk Najib sudah pun diluluskan kabinet, kata MP Sepang

Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan tanah dan rumah bernilai RM100 hakikatnya telah pun diluluskan oleh kabinet, demikian menurut Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa penggulungan hari ini memberitahu permohonan Najib itu akan dibawa melalui pembentangan RUU Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti.

Mengikut prosedur di dewan jelas Hanipa, penjelasan Zafrul itu menunjukkan permohonan Najib telah pun diluluskan oleh kabinet dan harta itu akan diberikan kepada Najib.

“Bila Menteri jelaskan perkara ini ( perkara Najib minta RM 100 JUTA itu ) akan dilaksanakan dengan membawanya melalui RUU Perbelakan Tambahan atau bajet tambahan, ia bermakna harta bernilai RM 100 juta yang Najib minta itu telah diluluskan oleh kabinet dan akan diberikan kepada Najib.

“Dalam bahasa mudah, wang rakyat bernilai RM100 juta diberikan kepada Najib dalam bentuk tanah dan rumah akan dibelanjakan walaupun ianya tidak ada dalam Belanjawan 2022.

“Ini kerana item tentang RM100 juta itu akan akan dimasukkan nanti di dalam Bajet Tambahan dalam Sidang Parlimen yang akan datang untuk dibahas dan diluluskan dalam Parlimen,” kata beliau.

Justeru jelasnya, dalam konteks Parlimen, Bajet Tambahan @ the Supplementary Budget bermakna kerajaan akan membelanjakan duhulu wang RM100 juta yang diluluskan oleh Kabinet dan selepas itu ianya akan diluluskan sekali lagi dalam Parlimen kemudiannya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mencelah mempersoalkan kenapa permohonan Najib bagi mendapatkan RM100 juta tidak disebut di dalam mana-mana item Belanjawan 2022.

Bagaimanapun Zafrul mengakui wujudnya permohonan daripada Najib tetapi tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonan itu dibuat selepas bajet dibentangkan.