Malaysia Dateline

Hakim arah Kamarul bayar kos RM6 ribu kepada MD dan Arif Atan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (29/3/2021) mengarahkan Dr Kamarul Zaman Yusoff,  pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) membayar kos sebanyak RM6 ribu kepada Malaysia Dateline dan Arif Atan iaitu RM3 ribu bagi setiap defendan.

Ini berikutan penyataan tuntutan dan writ yang difailkan Dr Kamarul ada kecacatan dan perlu difailkan semula.

Terdahulu Kamarul telah menfailkan saman fitnah dengan menamakan Malaysia Dateline sebagai defendan pertama dan Arif Atan atas kapasitinya sebagai pengarang sebagai defendan kedua kerana telah menyiarkan di portal Malaysia Dateline enam artikel daripada pelbagai pihak yang dikatakan memfitnah beliau.

Difahamkan bahawa keenam-enam pemilik asal itu juga telah disaman secara berasingan.

Malaysia Dateline dan Arif Atan telah memohon untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Kamarul itu kerana beberapa kecacatan yang terdapat Writ dan Pernyataan Tuntutan termasuklah tindakan Kamarul yang meletakkan amaun gantirugi yang dituntut sebanyak RM12 juta adalah bertentangan dengan undang-undang.

Hakim Tuan Quay Chew Soon ketika membacakan keputusan tersebut menyatakan bahawa Writ dan Pernyataan Tuntutan itu boleh dipinda dan diperbetulkan oleh Kamarul dan tidak perlu dibatalkan dan justeru permohonan defendan-defendan untuk pembatalan itu ditolak.

Pada masa yang sama Hakim mengarahkan Kamarul untuk membuat pindaan itu dalam tempoh 7 hari daripada tarikh keputusan ini.

Kamarul diwakili oleh peguam Mohd Harris Mohan Abdullah dan defendan-defendan diwakili oleh Dr Zulqarnain Lukman.