Hakim arah Trump dibayar RM1.2 juta atas saman fitnah

Hakim arah Trump dibayar RM1.2 juta atas saman fitnah

Aktres filem lucah, Stormy Daniels, diarah membayar lebih AS$290,000 (RM1.2 juta) kepada Presiden Donald Trump bagi yuran guaman yang dibelanjakan untuk mempertahankan diri dalam saman fitnah difailkan pelakon itu terhadapnya berhubung siaran di Twitter.

Bharian yang memetik sumber Reuters, melaporkan, Daniels, yang nama sebenarnya Stephanie Clifford, kalah dalam saman fitnah Oktober lalu, dengan hakim persekutuan di Los Angeles berkata tweet presiden itu dilindungi klausa kebebasan berucap dalam Perlembagaan AS.

Susulan arahan itu, peguam Trump pada sesi pendengaran minggu lalu memohon hampir AS$800,000 (RM3.3 juta) dalam bentuk yuran guaman dan penalti tetapi Hakim James Otero, dalam perintah terbaharu memberikan sebahagian kecil daripada jumlah itu.

Arahan Otero memberikan Trump hampir keseluruhan kos guaman yang diminta peguamnya, tetapi cuma AS$1,000 (RM4,181) dalam penalti.

“Arahan mahkamah, bersama-sama arahan terdahulu menolak kes fitnah Stormy Daniels terhadap Trump adalah kemenangan mutlak presiden, dan kekalahan bagi Stormy Daniels dalam kes ini,” kata peguam Trump, Charles Harder, dalam kenyataan.

Peguam Daniels, Michael Avenatti, dalam kenyataan menyatakan yuran peguam dalam kes fitnah kurang penting dalam pertembungan litigasi wanita itu dengan Trump.