Malaysia Dateline

Hakim AS dah ada tapi kenapa kes 1MDB Roger Ng masih libatkan juri? Peguam perjelas sebabnya

Hakim AS dah ada, tapi kenapa kes rasuah Roger Ng masih libatkan juri? Tertanya juga kenapa perbicaraan kes rasuah 1MDB di mahkamah Amerika Syarikat turut membabitkan penglibatan juri. Apa tujuannya.

Hari ini negara digemparkan dengan berita bahawa bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didapati bersalah oleh Mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Untuk pengetahuan, perbicaraan Roger Ng turut diadili juri Mahkamah Persekutuan di Brooklyn Amerika Syarikat (AS). Justeru, seorang peguam yang juga Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin memberi penjelasan mengapa sistem di AS mengguna pakai sistem juri walaupun ada hakim.

Maksud keputusan juri Di mahkamah di Amerika mensabitkan Roger Ng bersalah dalam kes rasuah berkait dana 1MDB .

Seawal selepas subuh pagi ini, saya menerima berita bahawa mantan orang kuat Goldman Sachs iaitu Roger Ng telah diputuskan bersalah oleh para juri Persekutuan (Federal jury) di Mahkamah di New York, Amerika.

Ng didapati melakukan kesalahan jenayah rasuah dan jenayah pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan dana 1MDB iaitu wang rakyat Malaysia.

Walaupun saya awalnya tidak begitu berminat untuk mengulas tentang keputusan kes Roger Ng itu kerana saya rasa lebih selesa untuk tidak bercakap isu-isu seperti ini di bulan Ramadan, tetapi saya dengan rasa berat hati terpaksa juga mengulasnya bagi membantu sekurang-kurangnya para pembaca untuk mengetahui serba sedikit kepentingan keputusan kes itu.

Saya akan mulakan begini. Meskipun kes ini melibatkan perbicaraan kes jenayah di negara Amerika tetapi yang agak komedinya ia seolah-olah sedang membicarakan negara Malaysia. Bagaimana pula tu?

Jawabnya, bila kes itu melibatkan rompakan besar-besaran wang negara atau duit rakyat Malaysia, ia dipanggil kleptorasi yang dilakukan melalui institusi 1MDB yang juga ada kaitan dengan seseorang dalam negara ini.

Saya sempat membaca, menonton serta mendengar kenyataan rasmi yang dibuat oleh Mr Breon Peace dari Pejabat Pendakwa raya di Daerah Timur New York setelah pihak juri dalam kes Roger Ng itu mensabitkan Roger Ng bersalah dalam kes jenayah rasuah dan pengubahan wang haram berbilion ringgit dari dana 1MDB!

Agak menarik akan tetapi dalam masa yang sama amat memalukan juga kerana dalam kenyataan rasmi pihak peguam pendakwaraya Amerika itu – Breon Peace- paling kurang beliau menyebut 4 kali nama negara Malaysia!

Antara lain, dia sebut bagaimana wang rakyat Malaysia menerusi dana 1MDB itu digunakan untuk membeli kemewahan dengan merasuah pula antaranya para pegawai kerajaan di negara ini .

Dah ada Hakim kenapa perlu Juri? Ini penjelasan dikongsi peguam, Hanipa Maidin

Mungkin juga ada yang nak tahu apa beza keputusan hakim dengan keputusan juri ya? Saya cuba ya jelaskan. Tidak seperti negara ini, di Amerika sistem juri masih lagi terpakai.

Secara mudahnya, bila sesuatu perbicaraan di mahkamah melibatkan perbicaraan di hadapan para juri, ia bermaksud mahkamah membenarkan agar orang yang kena tuduh itu ibaratnya dibicarakan oleh orang-orang awam seperti tertuduh itu juga atau dalam bahasa Inggeris disebut “tried by jury of his peers”.

Ideanya, bila dibicarakan di hadapan juri, makna mudahnya tertuduh akan rasa ianya lebih adil kerana bagi tertuduh, juri itu juga pun macam dia yang sama-sama tidak mempunyai latarbelakang undang-undang dan lebih mudah memahami kondisi dia.

Jika dibicarakan di depan hakim sahaja tanpa juri mungkin tertuduh dok rasa seperti dia dibicarakan oleh golongan elit!

Itulah lebih kurang filsafatnya. Mungkin ada yang tanya pula “habis tu YB, kenapa masa dibicara depan juri itu, masih ada hakim lagi?”

Jawabnya, tak boleh buang begitu je hakim. Hakim masih perlu ada cuma peranannya diminimakan sebab bila pergi mahkamah masih ada pendakwa, ada peguambela, ada akta, dan sudah tentu ada isu undang-undang yang akan timbul semasa perbicaraan!

Peranan hakim diminimakan, juri akan putuskan tertuduh bersalah atau tidak

Oleh itu, walaupun ada hakim, peranan hakim dalam sistem juri itu terhad sekadar untuk hakim putuskan isu undang-undang sahaja jika diandaikan akan timbul persoalan undang-undang semasa pebicaraan itu.

Sedangkan para juri yang akan bincang dan putuskan sama segala fakta dan keterangan yang dikemukakan dalam kes seperti kes Roger Ng itu mewajarkan dia bersalah atau tidak?

Sekarang ini nampaknya sudah terbukti para juri dalam kes Roger Ng itu berpuas hati dengan fakta dan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya yang bagi juri, tidak ada lagi keraguan munasabah bahawa Roger Ng memang betul-betul bersalah.

Kesimpulannya, oleh kerana Roger Ng telah didapati bersalah oleh para juri (jurors of his peers) iaitu ‘hakim’ dalam kalangan orang awam kerana salah guna berbilion wang 1MDB bagi merasuah dan pengubahan wang haram, makna mudahnya segala teori kononnya tidak ada apa-apa kesalahan jenayah dalam kes 1MDB nampaknya tak boleh diterima hatta oleh orang awam di Amerika.

Dengan kata lain bagi orang awam di Amerika, teori itu tak masuk akal dan mengarut. Akhirnya, nampaknya juri orang awam percaya segala keterangan Tim Leissener yang ” juicy” itu adalah benar!

Baca juga: ‘Keadilan besar untuk rakyat Malaysia’, Mahkamah AS dapati Roger Ng bersalah bantu seleweng dana 1MDB