Malaysia Dateline

Hakim, peguam berjoget: Tidak boleh ulas lebih-lebih, kata Raja Kamarul

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berpendapat masyarakat bukan Islam mempunyai amalan budaya tersendiri termasuklah dalam acara-acara tertentu.

Menurutnya, masyarakat boleh menilai tindakan beberapa individu penting dalam institusi perundangan negara yang menari dalam sebuah majlis makan malam sebagaimana video yang tular sejak kelmarin merupakan budaya kalangan bukan Islam.

“Kita pun tidak boleh membuat ulasan lebih-lebih, terpulang kepada budaya, bangsa dan agama masing-masing kerana seperti saya katakan tadi bukan semua (dalam video) terdiri daripada orang kenamaan beragama Islam.

“Berbeza dengan isu bekas peguam negara menari sebelum ini kerana beliau merupakan orang Islam jadi, kita berpegang kepada perkara kukuh itu,” ujarnya.

Raja Kamarul yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas penularan video yang dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah selepas Bicara Profesional bersama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Terengganu di Akademi Bomba Wakaf Tapai hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi seminit 37 saat yang menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Tommas berjoget ‘twist’ mengikut rentak irama sebuah lagu Inggeris, ‘Let’s Twist Again’.

Turut kelihatan dalam video sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam pro-Pakatan Harapan, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.