Malaysia Dateline

Hakim tegur anak Zahid komen isu dana Yayasan Akalbudi

Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini menegur anak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengulas pendakwaan terhadap Presiden Umno berhubung pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu juga mengingatkan orang ramai untuk tidak memberikan komen di media sosial mengenai perbicaraan yang sedang berjalan kerana ia boleh menjadi subjudis.

Terdahulu, Datuk Nurulhidayah di Instagram miliknya menyatakan bahawa pihak pendakwaan meminda peruntukan Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 1 Oktober 2018 untuk meneruskan kes terhadap bapanya.

Bagaimanapun, semakan mendapati hantaran tersebut telah dipadamkan daripada Instagram Nurulhidayah, 42, yang pernah menganggap Perhimpunan Bersih 4 sebagai satu ‘kerja bodoh’.

Untuk rekod, Nurulhidayah yang mempunyai ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu telah dilantik sebagai Ahli Perbadanan SME Corp iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MEDAC) pada Januari lalu.

Dia sebelum ini dilihat beberapa kali mengundang kontroversi termasuk didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu apabila dia dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Tangkap layar di Instagram Nurulhidayah yang kemudiannya telah dipadam.

Pada 6 September lalu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, berkata tertuduh menuntut imuniti daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30 (7) Akta SPRM.

“Tertuduh (Ahmad Zahid) pada 2 Julai 2018 dan 3 Julai 2018 membuat dua pernyataan berdasarkan Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM. Dengan kedua-dua pernyataan ini, tertuduh mendedahkan maklumat dan oleh itu di bawah Seksyen 30 (7) Akta SPRM, beliau dilindungi dengan imuniti daripada pendakwaan.

“Kedua-dua pernyataan ini diakui melalui SP89 (saksi pendakwaan ke-89 Fairul Rafiq Hamirudin), pegawai penyiasat pertama yang dipanggil pihak pendakwaan.

“Beliau mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa beliau mempunyai akses dan hak penjagaan pernyataan di atas. Beliau juga mengesahkan bahawa beliau telah memeriksa pernyataan itu.

“SP89 kemudiannya mengesahkan kedua-dua pernyataan itu diberikan menurut perintah di bawah Seksyen 30 (1) (a) Akta SPRM dan tertuduh tidak didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 27 Akta SPRM berkenaan berhubung kedua-dua pernyataan tersebut kerana memberikan maklumat yang tidak benar,” katanya.

Hisyam berkata demikian ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim Datuk Collin.