Malaysia Dateline

Hakis tanggapan orang politik bekerja hanya untuk isi perut sendiri

Naib Presiden AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud berharap sayap wanita muda parti tersebut dapat membetulkan tanggapan serong sebahagian golongan muda terhadap ahli politik.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang itu menyifatkan Wanita Muda AMANAH (Warda) dapat memberi kesedaran kepada kelompok seusia dengan mereka tentang kepentingan menceburi lapangan politik.

“Harapan kami sangat besar kepada Warda dalam menjadi pelapis kami di masa depan, dengan memberi kesedaran kepada orang muda.

“Kenapa mereka (orang muda) perlu bergiat sebagai aktivis politik dan menghakis stigma anak-anak muda kini yang melihat orang politik bekerja hanya untuk mengisi perut mereka sahaja,” tegasnya.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita AMANAH Negara (Awan) Nasional itu berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Warda Selangor kali ketiga di Ara Event Hall, Ampang hari ini.

Sementara itu, Ketua Warda Selangor, Siti Nur Aishah Mohd Zain mengingatkan nilai teguh berprinsip sangat penting bagi memastikan sayap parti itu sentiasa berada di atas landasan yang betul.

Teguh berprinsip juga, jelasnya, memaastikan Warda tidak mudah tersasar dengan bayangan kuasa, nafsu dan wang semata-mata.

“Oleh itu, mari bersama kita corakkan nilai politik yang baik bermula dari Warda supaya jika satu hari nanti kita diberikan tanggungjawab menjadi seorang pemimpin, kita sentiasa dilihat sebagai seorang pemimpin yang teguh berprinsip,” katanya.

Konvensyen Warda Selangor kali ini bertemakan “Wanita Muda Teguh Prinsip Tunjang Negara”.

Sementara itu, dalam kenyataan rasmi mereka, Warda menegaskan tentang budaya politik berasaskan nilai, merit dan integriti demi bakti kepada rakyat.

“Warda berpendirian politik berdasarkan nilai, merit dan integriti harus kita budayakan bersama kerana tujuan asal anak muda sebagai aktivis politik adalah memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Turut menghadiri konvensyen tersebut ialah Ketua Warda Nasional, Nurthaqaffah Nordin; Ketua Awan AMANAH Selangor, Rawiyiah Zakaria dan Setiausaha AMANAH negeri, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim.