Hala tuju  Deklarasi Rakyat tidak jelas, kata Takiyuddin

Hala tuju Deklarasi Rakyat tidak jelas, kata Takiyuddin

Pas tidak menyertai deklarasi pada 4 Mac kerana parti itu tidak jelas dengan hala tuju yang ingin digerakkan oleh kumpulan yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata deklarasi Mahathir itu tidak memaklumkan tentang tindakan seterusnya yang akan diambil oleh kumpulan yang menandatanganinya terutama tentang siapa pengganti sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri.

“Kami tidak boleh sertai sehingga kami jelas mengenai apa yang sedang berlaku, mesti ada kesinambungan daripada itu tapi kita tidak dimaklumkan tentang apa seterusnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-13, semalam

Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata Pas turut menolak tindakan menyingkirkan perdana menteri melalui kaedah itu yang menurutnya tidak pernah dilakukan dalam sistem pemerintahan negara ini.

“Tidak pernah berlaku dalam sistem negara ini yang kita boleh tukar perdana menteri melalui cara itu, tidak pernah, malah melalui pungutan suara sekali pun…bukan itu caranya.

“Kita boleh adakan usul untuk undi tidak percaya dalam Parlimen, cara itu boleh. (Tapi) Pas mahu tahu siapa calonnya,” katanya.

Takiyuddin berkata Pas akan memanggil semua anggotanya yang hadir pada majlis deklarasi Mahathir minggu lepas untuk mendengar penjelasan berhubung tindakan mereka.

“Kami akan minta mereka beri penjelasan kenapa mereka berada di sana. Saya sebagai setiausaha agung tak tahu kenapa mereka ada di situ. Bukan saya kata kita akan ambil tindakan, tapi kita akan dapatkan penjelasan mereka,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri (Pas-Kuala Nerus), anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa.

Dalam pada itu Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan (Pas-Temerloh) berkata Khairuddin dihantar menyertai majlis itu untuk mendapatkan maklumat secara dekat berkaitan motif dan matlamat penganjur.

“Kami hantar wakil atas arahan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam masa sama Pas buat keputusan kami tidak terlibat. Mereka yang pergi mungkin diundang secara peribadi,” katanya.

TAGS