Malaysia Dateline

Hala tuju Umno akan dibincang dengan Biro Politik

Hala tuju parti parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dibincangkan dalam Biro Politik Umno, kata Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, perkara berkenaan juga akan dibawa ke Majlis Tertinggi parti.

“Ini soal penting,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, justeru tidak sesuai untuknya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama.

Tambahnya lagi, ketika ini pimpinan tertinggi sedang melakukan ‘post mortem’ menyeluruh.

“Semua pimpinan parti boleh memberikan pandangan dalam mesyuarat itu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalannya Mohamad Hasan yang mendesak beliau untuk menentukan hala tuju parti itu susulan Umno ‘dipinggirkan’ selepas PRN Sabah.

Menurut Mohamad, keputusan PRN Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang Umno meterai, tidak menguntungkan, malah semakin memencilkan peranan parti itu di Sabah.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, Umno waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan Umno memikirkan semula pendekatan politiknya,” katanya melalui hantaran Facebooknya hari ini.