Halang ahli politik masuk ke Sarawak bertentangan Akta Imigresen

Halang ahli politik masuk ke Sarawak bertentangan Akta Imigresen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan kerajaan negeri Sarawak menghalang sebilangan besar pemimpin-pemimpin pembangkang yang berpengaruh untuk ke Sarawak bagi menyertai persiapan pilihan raya negeri terus mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pengerusi Amanah Tanjung Malim, Aminuddin Zulkipli dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan ketua menteri Sarawak itu sebagai bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Aminuddin menyifatkan kerajaan BN negeri telah menyalahguna kuasa dengan menghalang pihak yang dilihat mampu menggugat kedudukan mereka atas alasan keharmonian.

“Bagaimana seorang ketua menteri boleh memberi alasan kononnya untuk keharmonian tetapi dalam penjelasannya mengatakan pemimpin-pemimpin ini hanya boleh masuk ke Sarawak selepas pilihan raya?

“Jelas ia bukan bertujuan keharmonian tetapi disebabkan kebimbangan atas pengaruh pemimpin-pemimpin tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau menyokong permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem supaya membenarkan ahli parti itu ke Sarawak atas urusan politik berdasarkan Seksyen 67 Akta Imigresen.

Peruntukan itu menyatakan bahawa kuasa khas imigresen di negeri itu untuk melarang kemasukan mana-mana individu tidak meliputi mereka yang terbabit dalam aktiviti politik yang sah.

“Saya kira pembangkang sudah melakukan tindakan diplomasi dengan Ketua Menteri untuk minta ahli-ahli parti dari pembangkang tidak dihalang masuk ke Sarawak namun sekiranya perkara ini tidak dberi perhatian, maka jelaslah bahawa pilihan raya yang bakal berlangsung tidak lama lagi bukanlah pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil,” tambahnya lagi.

Beliau turut membantah tindakan Imigresen menghalang Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dari memasuki Sarawak.

“Kita juga tidak setuju dengan tindakan menghalang Datuk Jamal Yunos untuk ke Sarawak dan kita konsisten bahawa semua pihak harus diberi peluang untuk melaksanakan urusan politik yang sah di sisi undang-undang apatah lagi pada musim pilihan raya negeri ini,” ulasnya.

Semalam ahli Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dilarang memasuki Sarawak menjadikan beliau antara pemimpin Pakatan Harapan daripada PKR yang gagal masuk ke negeri itu.
 
Pada Mac lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu merupakan pemimpin pembangkang terawal yang dihalang masuk ke negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei depan manakala hari penamaan calon pula pada 25 April.

TAGS