Isu Dr Zakir Naik: Wira Perkasa gesa Sivaraajh henti campur hal ehwal Islam

Isu Dr Zakir Naik: Wira Perkasa gesa Sivaraajh henti campur hal ehwal Islam

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Irwan Fahmi IdrisWira Perkasa Malaysia mahu Pemuda MIC agar berhenti daripada terus bercakap dan masuk campur dalam isu yang melibatkan hal ehwal agama Islam yang mahu menghalang Dr. Zakir Naik yang akan mengadakan ceramah di beberapa negeri.

Ketuanya, Irwan Fahmi Idris berkata, umum mengetahui bahawa Dr. Zakir Naik merupakan seorang tokoh agama yang amat disenangi kerana cara penyampaian ceramah dan menjawab soalan sangat dikagumi ramai.

“Saya nak tanya mereka (Pemuda MIC) mengapa perlu menghalang Dr. Zakir dari memberi ceramah? Apakah disebabkan tajuknya iaitu persamaan agama Hindu dan Islam?

“Saya menyeru agar mereka duduk dan fikir seketika. Kebanyakan penyampaian ceramah oleh Dr. Zakir disampaikan dengan penuh ilmiah. Beliau mengupas sesuatu isu dengan cukup teliti dan penuh yakin. Beliau juga mengupas jawapan kepada setiap persoalan dengan lebih jelas dan terpeinci.

“Saya ingatkan mereka sekali lagi, jangan cuba mencurah minyak didalam api. Datanglah ceramah tersebut dan tanyalah sendiri kepada Dr Zakir sendiri kalau betul tak puas hati. Jangan dah baling batu sembunyi tangan.” ujarnya.

Semalam Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh berkata, mahu membuat laporan polis seluruh negara bagi menghalang penceramah kontroversi Dr Zakir Naik memberi ceramah di Malaysia.

C SivaraajhSivaraajh juga berkata, sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan perintah mahkamah menghalang doktor kelahiran India itu yang mahir aliran Salafi dengan gayanya merendah-rendahkan agama lain yang dianggap boleh mencetuskan rasa kurang senang kerana kerana tidak menghormati dan tidak sensitif terhadap orang lain.

Dalam hal ini Irwan berkata, Pemuda MIC perlu sedar Islam adalah agama persekutuan di Malaysia dan MIC dakwanya seperti sengaja mencetus kemarahan dan bermain sentimen yang tidak baik terhadap Islam.

“Dia (Sivaraajh) juga harus menghormati Islam sebagai agama persekutuan. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong adalah ketua agama rasmi negara. Tindakan seperti ini sama seperti tidak menghormati Yang DiPertuan Agong.

“Jika betul Dr. Zakir membuat fitnah kepada agama lain masakan ramai yang telah memeluk Islam kerana apa yang disampaikan itu adalah benar. Malahan Dr. Zakir Naik diiktiraf sebagai tokoh Maal Hijrah 1436H oleh Yang DiPertuan Agong.

“Cukup! Hentikan segala tindakan mencampuri urusan terhadap agama Islam.” ujarnya dalam satu kenyataan.

Wira Perkasa juga menyeru agar Pemuda MIC faham dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 11 (4) iaitu Perlembagaan memperuntukkan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”

“Selepas mereka faham mereka tidak akan mengambil mudah terhadap perkara yang melibatkan agama Islam. Islam itu mudah difahami. Malu bertanya sesat jalan. Kalau dah sesat jangan mengambil mudah menyesatkan orang lain.” ujarnya.

TAGS