Malaysia Dateline

Halang hobi anak, ibu bapa bertindak bakar koleksi gambar artis K-pop- Adakah ia keterlaluan?

Hobi mengumpul gambar-gambar artis yang menjadi pujaan dalam kalangan remaja hari ini bukanlah satu perkara baru malahan berpuluh tahun lalu pun sudah ada hobi ini.

Jika zaman dahulu kita membeli majalah URTV, Varia Pop, Media Hiburan semata-mata untuk mengumpul gambar artis China seperti Andy Law, Leon Lai Meng, dan artis tempatan kemudian menampal di dinding bilik atau dalam almari.

Hari ini lain sikit, gambar-gambar artis K-pop pula menjadi pujaan didatangkan bukan lagi bentuk poster kertas nipis tetapi berbentuk kad yang berkualiti boleh gantung di beg atau menjadi key chain.

Harga pula boleh tahan, hingga ada yang berhabisan RM2,000 untuk membeli gambar-gambar artis K-pop yang dipesan dari luar negara melalui online. Ada yang mengumpul duit belanja sekolah yang diberi ibu bapa semata-mata memenuhi hobi mereka.

Bukan setakat gambar berbentuk kad bahkan siap ada album disimpan begitu rapi. Berbaloikah?

Mungkin ada yang kata ianya membazir. Namun jika ditanya dalam kalangan remaja bagi mereka ianya satu pelaburan kerana ia menjadi koleksi yang ‘rare’ di masa akan datang. Boleh dijual semula dan mungkin pada masa itu harganya mahal. Betul juga kata mereka.

Kumpul gambar artis K-Pop sekadar hobi saja bagaimanapun ibu bapa harus memerhatikan anak-anak remaja mereka jangan pula terlalu taksub.

Mereka mjungkin tidak akan taksub ianya sekadar hobi mengisi masa lapang dan berkongsi gambar-gambar artis yang mereka suka bersama kawan-kawan. Masing-masing tunjuk gambar yang di ‘unboxing’ kemudian gelak sama-sama. Itu sahaja tidak lebih dari itu.

Terbaharu, tular sebuah video memaparkan hancurnya hati seorang remaja mendapat tahu semua koleksi K-pop peribadinya sudah hangus menjadi abu dibakar apabila minatnya tidak direstui kedua ibu bapanya.

Perkongsian pengguna TikTok telah mencetuskan amarah ramai apabila ibu bapa remaja perempuan berkenaan tergamak membakar koleksi barangan anak mereka.

Menerusi video dimuat naik oleh @cikatienn di aplikasi tersebut, dilihat remaja itu menangis apabila masuk ke dalam bilik dan mendapati barangnya sudah tiada kerana sudah dibakar.

Dalam video tersebut, pengguna yang juga ibu kepada remaja tersebut memberitahu koleksi yang dibakar itu dibeli oleh anaknya dengan harga mahal dan ada sebahagian daripadanya diberikan oleh kawannya sebagai hadiah.

Tidak berdiam diri, dia turut pergi ke tempat barangnya yang dibakar untuk mengutip semula serpihan-serpihan yang masih ada. Walaupun barang tersebut dalam keadaan yang menyedihkan, anaknya berjaya menjumpai sebuah kotak mengandungi beberapa barangan berharga.

Bagaimanapun tindakan ibu bapanya menerima kritikan dalam kalangan netizen yang menyifatkan keterlaluan.

Video berdurasi seminit dua puluh lapan saat yang berjaya meraih sejuta tontonan menerima pelbagai jenis reaksi di mana ramai meluahkan ketidak puasan hati dan merasakan tindakan tersebut adalah keterlaluan.

Bukan itu sahaja, ia akan menganggu emosi serta kepercayaan anak terhadap keluarganya sendiri.

Bermacam-macam komentar yang ditinggalkan hingga ada yang membayangkan anak remaja itu akan berdendam dengan ibu bapanya suatu hari nanti.

Bahkan ada yang menasihatkan ibu bapa agar jangan bertindak keterlaluan sebaliknya memantau setiap masa apa yang dilakukan anaknya.

Baca juga: Usah politikkan kos haji lihat secara objektif- Subsidi wajar diteruskan pada yang layak sahaja

Baca juga: Lebih 20 warga China hilang akibat bot karam di Kemboja