Malaysia Dateline

Halang Kerajaan Kedah lakukan pembalakan Ulu Muda

Kerajaan Persekutuan mesti halang Kerajaan Negeri Kedah daripada membenarkan pembalakan di dalam Kompleks Hutan Ulu Muda (Ulu Muda) dengan segera.

Malah sebarang bentuk aktiviti pembalakan di Ulu Muda mengancam bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang kerana Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air terpenting di Utara Malaysia.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Menurut beliau lagi, pembalakan di Ulu Muda akan membahayakan kehidupan dan mata pencarian 4.2 juta penduduk yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta juga semua aktiviti ekonomi termasuk industri pembuatan, pelancongan, peruncitan dan perkhidmatan berteknologi tinggi di ketiga-tiga negeri serta penanaman padi.

“Ia juga membahayakan semua projek sosio ekonomi yang dirancang di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

” Krisis bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan menyebabkan penderitaan yang tidak perlu bagi rakyat dan sektor perniagaan mungkin menanggung kerugian berbilion-bilion ringgit.

” Ketiga-tiga Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan mengalami kerugian dalam pendapatan cukai,” jelas beliau.

Kata Jaseni lagi, dakwaan Menteri Besar Kedah pada 26 Ogos baru-baru ini yang menyatakan bahawa pembalakan seluas 25,553 ha. daripada 160,000 ha. hutan telah diluluskan di Ulu Muda membawa maksud 16 peratus hutan hujan di Ulu Muda kini terbuka untuk pembalakan.

Tambahnya lagi, perkembangan tersebut adalah membingungkan dan membimbangkan.

“Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air dan Sungai Muda adalah sangat strategik kerana huran hujan Ulu Muda mengumpul air hujan yang kemudiannya mengalirkan air ke Sungai Muda.

” Selain menyalurkan air hujan ke sungai, seluas 160,000 ha. hutan hujan juga secara semula jadi menahan dan menyimpan air dan peratusan kelembapan di hutan hujan akhirnya menyejat untuk membentuk awan hujan yang membawa hujan.

” Oleh kerana itu sekiranya hutan hujan ditebang oleh pembalak maka akan terjadi bencana alam sekitar di Ulu Muda dan kejadian ini akan turut menyebabkan gangguan sistem hidrologi semula jadi di Ulu Muda, hakisan tanah yang meluas, aliran air dan banjir yang tidak terkawal, kontaminasi serta pencemaran air sungai, pemendapan, kelodak sungai yang deras akan jua menjejaskan kedalaman Sungai Muda, ” ujar beliau.