Malaysia Dateline

Halang tugas JAWI: Pengurusan kes rayuan pembebasan Siti Kasim 22 Mac

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Mac depan untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan peguam Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2016.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan masih belum lengkap dan memohon tarikh pengurusan kes selanjutnya.

Beliau memaklumkan hal tersebut kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad.

Turut diberitahu peguam bagi pihak responden iaitu Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 58, tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 21 Ogos 2020, Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Siti Kasim atas pertuduhan dengan sengaja menghalang pegawai JAWI Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 41, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 10.30 malam, 3 April 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.