Halang usul desak Najib letak jawatan, Tengku Adnan kuburkan demokrasi

Halang usul desak Najib letak jawatan, Tengku Adnan kuburkan demokrasi

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dianggap tidak demokratik apabila memberi amaran dan menghalang ketua cawangan daripada mengemukakan usul kepada Umno Bahagian mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dianggap tidak demokratik apabila memberi amaran dan menghalang ketua cawangan daripada mengemukakan usul kepada Umno Bahagian mendesak Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarulazman Habibur Rahman berkata,sebagai seorang setiausaha agung parti Tengku Adnan telah menguburkan dan bukan menyuburkan demokrasi dalam Umno.

“Beliau memang tidak demokratik. Beliau pernah kata, kalau peringkat cawangan tidak puashati kepada Presiden boleh kemukakan usul kepada bahagian.

“Sebagai ahli Umno di peringkat cawangan kami bercakap perkara yang betul. Kami tidak menipu.

“Adakah beliau mahu ketua-ketua cawangan buat desakan usul undi tidak percaya kepada Setiausaha Agung pula?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Kamarulzaman diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan ketika merasmikan Persidangan Tahunan Berkelompok Wanita Umno Cawangan-cawangan dalam Bahagian Batu, Ahad lalu, yang mengingatkan ahli Umno terutamanya di peringkat cawangan agar berhati-hati dengan gerakan GKCM.

Tengku Adnan dipetik sebagai berkata, GKCM akan berjumpa ketua cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengeluarkan memorandum mendesak presiden parti meletakkan jawatan.

“Jadi perlu berhati-hati. Mereka ini ada 70 cawangan sahaja itu pun melibatkan ketua cawangan. Ahli jawatankuasa tidak tahu pun. Bila saya kata itu tidak boleh diterima pakai, mereka marah.

“Perlu diingatkan, dalam bahagian tentu ada 20 ke 40 peratus cawangan yang tidak sokong ketua bahagian,” kata Tengku Adnan.

Tegas Kamarulzaman lagi, GKCM tiada peruntukan dana untuk menggerakkan usaha mendesak Presiden melepaskan jawatan.

“Kita tidak jumpa mereka (Wanita, Pemuda dan Puteri) untuk hantar memorandum seperti didakwa beliau.

“Kita tidak ada peruntukan dan pergerakan kita terbatas hanya melalui media sosial, kita berjaya kumpulkan keahlian dan menyampaikan maklumat kepada ketua-ketua cawangan yang memihak kepada usaha dilakukan GKCM.

“Hanya dengan usaha terbatas itu sahaja beliau nak melatah? Beliau sedang panas dan tidak boleh berfikir secara rasional.

“Beliau kata hanya 70 cawangan sahaja yang menyokong usaha kami, sebenarnya kami tidak mahu dedahkan jumlah sebenar ketua-ketua cawangan yang menyokong kerana kami percaya ada usaha dilakukan oleh Umno Bahagian untuk mengagalkan usaha kami.

“Kalau ada usul dari ketua-ketua cawangan yang selari dengan ketua bahagian kononnya menyokong Presiden, itu semua retorik oleh Ketua-ketua bahagian yang takut hilang kuasa dan jawatan mereka,” dakwanya.

Beliau juga tidak menafikan terdapat beberapa ketua cawangan Umno akan mengemukakan usul menolak presiden parti dalam persidangan bahagian Umno kelak.

Kamarulazman juga memberitahu, usul tidak percaya kepada presiden tidak pernah dibincangkan secara ilmiah di kalangan 191 bahagian parti itu.

“Setiap tahun tradisinya diadakan mesyuarat bahagian sudah ada satu teks yang dibuat oleh ketua bahagian dan konco-konconya yang mana ketua cawangan dan ahli akar umbi terpaksa menyokong tanpa bantahan.

“Jika kami buat perkara sama dalam mesyuarat tahunan cawangan kali ini, kalau ada ketua cawangan dan ahlinya yang mengemukakan usul tidak percaya kepada presiden mendesak presiden melepaskan jawatan, bukanlah satu kesalahan melanggar perlembagaan parti.

“Persoalannya sekarang sama ada ketua bahagian berani atau tidak untuk menyokong usul yang dibawa oleh ketua cawangan?” soalnya.

Persidangan tahunan cawangan-cawangan Umno akan bermula pada 18 Mac hingga 1 Mei depan.

TAGS