Malaysia Dateline

Halangan merentas negeri dan darurat, tetapi COVID-19 makin melarat!

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR-PH), Hassan Abdul Karim, salah dan tidak berperlembagaan (unconstitutional) jika Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin menyatakan Parlimen Malaysia sekarang digantung kerana ada Proklamasi Darurat berkuatkuasa mulai 12 Januari lalu.

Dari perspektif undang-undang, kata Hassan, Proklamasi Darurat dan Penggantungan Parlimen tidak sama.
Proklamasi Darurat, kata Hassan, hanya setakat itu sahaja, dan tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.

Untuk menggantung Parlimen, Muhyiddin mesti memberikan alasan-alasan khusus, dan kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan menggantung Parlimen Malaysia sekarang. Namun begitu, Muhyiddin gagal memberikan alasan-alasan tersebut.
Jelas Hassan, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Proklamasi Darurat tidak menyebabkan secara automatik Parlimen mesti digantung.

Sebaliknya, Perkara 150 (2B) menyatakan Parlimen boleh bersidang ketika Proklamasi Darurat berkuatkuasa. Perkara 150(3) pula menyatakan, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan,…”. Ertinya, Parlimen masih berfungsi.

Kerajaan PN mengenakan Ordinan Darurat dengan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, sementara bagi kesalahan yang berterusan pula, denda tidak lebih RM1,000 untuk setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan kepada sesiapa yang mempertikai pelaksanaan darurat.

Bagaimana mahu ‘mengunci mulut’ sedangkan perkara tersembunyi nampak terang nyata? Kerajaan PN tidak perlu berpusing-pusing kata, seolah-olah mahu ‘menegakkan benang basah’.

Rakyat, terutama pemimpin dan penyokong PH, termasuk netizen mengatakan ia darurat politik. Walau bagaimanapun, pemimpin Kerajaan PN menegaskan ia darurat kesihatan. COVID-19 dijadikan alasan bagi pelaksanaan darurat tersebut.

Sebenarnya, tidak salah pelaksanaan darurat kesihatan kalau ia benar-benar begitu. Hasil yang positif, iaitu penurunan kes wabak pandemik, tentulah diharapkan.

Namun demikian, malang sekali. Apa yang berlaku ialah Parlimen terus digantung, dan kes harian COVID-19 dari 15 April sehingga 30 April lalu, melebihi 2 ribu dan 3 ribu (15 April, 2,148 dan 30 April, 3,788 kes meskipun turun naik di sepanjang setengah bulan itu).

Kadar peningkatan harian kes COVID-19 telah memecahkan siling 3,000 kes – kali ketiga kadar ini berada di atas paras 3,000 kes sejak 24 Februari.

Jumlah kes terkumpul di Malaysia telah melepasi 400,000 kes, iaitu 408,713.

Ketika artikel ini ditulis, kedudukan negara terus merosot apabila berada di tempat ke-43 di dunia dari segi jumlah kes terkumpul, mengatasi kedudukan Bulgaria dan kita bakal mengatasi Arab Saudi (yang mempunyai 415,287 kes) dalam masa seminggu lagi dengan kadar peningkatan kes baharu sedia ada.

Malaysia berada di tempat ke-85 pada 11 November 2020 dan setakat hari ini kita telah melonjak 42 kedudukan dalam tempoh enam bulan yang lepas. Sedangkan China, yang merupakan negara dengan situasi terburuk pada awal 2020, kini berada di tempat ke-95 dengan hanya 90,622 kes terkumpul!

Indeks ‘kes per sejuta rakyat’ kita ialah 12,279, kadar tertinggi di Asia Timur, ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik (Singapura 10,375; Filipina 9,212; Indonesia 6,006; Jepun 4,562; Myanmar 2,610; Korea Selatan 2,352; Hong Kong 1,558; Australia 1,156; Thailand 882; Kemboja 696; New Zealand 522; Brunei 508; Laos 82; China 63; Taiwan 47 dan Vietnam 29).

Indeks ‘kes per sejuta rakyat’ kita lebih hampir dengan India, di mana COVID-19 ini telah mengubah negara tersebut menjadi ‘neraka’ untuk setiap hari dalam minggu yang lalu, dengan kadar kes yang memecah rekod.
Dalam tempoh lapan hari yang lalu sahaja (sejak 23 April), jumlah kes terkumpul di India telah meningkat sebanyak 2.4 juta kes, membawa angka keseluruhan kepada 18.3 juta kes dengan hampir 205,000 kematian, sedangkan angka keseluruhan pada peringkat global telah melepasi paras 150 juta kes dengan lebih daripada 3.2 juta kematian di seluruh dunia.

Jika mengikut logik, darurat kesihatan tentulah memberi kesan positif – kes menurun kerana darurat ini bertujuan memberikan lebih ruang kepada kerajaan memerangi COVID-19.

Walau bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku – seolah-olah bukan darurat kesihatan. Ia seperti membenarkan dakwaan bahawa memang darurat politik untuk menyelamatkan Kerajaan PN, bukan darurat kesihatan membasmi virus corona.

Keadaan pelik ini sukar diterima ketika program vaksinasi kebangsaan sudah pun memasuki fasa kedua pemberian.

Dalam keadaan yang kian kritikal ini, terdengar ura-ura pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di Lembah Kelang.

Mengulas spekulasi ini, Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Ong Kian Ming menggesa kerajaan tidak melaksanakan PKP di Lembah Kelang buat kali ketiga selagi peraturannya kabur.

Jelas Ong, jika PKP 3.0 dilaksanakan secara terburu-buru, lebih ramai orang akan didenda RM10,000 akibat melanggar prosedur operasi standard atau SOP kerana tidak jelas akan peraturan dalam perintah kawalan itu.
Ong memberikan contoh jumlah yang dibenarkan duduk di dalam kereta ketika PKP 3.0 nanti.

Bagi beliau, pelaksanaan PKP 3.0 di Lembah Kelang akan memberi kesan terhadap 10 juta penduduk.

Tambah beliau, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya telah ada sistem untuk memberi amaran awal kepada penduduk mengenai peraturan sebelum PKP 3.0 diumumkan.

Jumlah harian kes COVID-19 di Lembah Kelang kini mencecah empat angka sejak 23 April lalu.
Setakat ini, PKP dikenakan di Kelantan dan lima daripada 12 daerah di Kedah.

Antara peraturan PKP termasuklah sekatan merentas negeri, tidak boleh mengadakan majlis sosial atau keagamaan, dan penutupan sekolah.

Kata Ong, jika PKP 3.0 dilaksanakan di Lembah Kelang, ia mencerminkan kegagalan Kerajaan PN mengawal penularan wabak itu sewaktu proklamasi darurat – COVID-19 meningkat, keperluan mengumumkan satu lagi PKP, dan penutupan berterusan Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Ong sempat menggesa inilah masa untuk membuka kembali Parlimen agar dasar bagaimana mengawal COVID-19 dapat dibincangkan secara terbuka oleh menteri bertanggungjawab dengan beberapa aspek, dan dasar tersebut dapat dipersoal oleh pembangkang dan penyokong kerajaan.

Justeru, wajar jika ada pihak, terutama PH mahu darurat ditamatkan sehingga mereka sanggup menghadap YdPA.
Pada 28 April lalu, beberapa ahli Parlimen yang mendakwa mereka mewakili Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat (JKMPD) menyerahkan memorandum kepada YdPA memohon perkenan baginda supaya perisytiharan itu ditamatkan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengerusi JKMPD menyerahkan memorandum itu kepada wakil YdPA di Pintu 3, Istana Negara.

Tegas Khalid kepada media selepas menyerahkan memorandum, pihaknya menuntut supaya darurat ditamatkan, dan Parlimen dibenarkan bersidang seperti biasa.

Memohon penamatan darurat satu perkara, perkenan YdPA menerima memorandum jawatankuasa tersebut juga satu hal yang menarik. Ia bermakna, dalam hal ini, permintaan pembangkang tidak disisihkan.

Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja), dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai).

Namun begitu, menurut Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, keputusan untuk menamatkan darurat atau sebaliknya tetap terletak di bahu YdPA.

Oleh kerana rakyat tidak senang dengan pengisytiharan darurat, kata Mahathir, pihak beliau terpaksa menyampaikan cadangan penamatannya kepada YdPA.

Pada 12 Januari lalu, YdPA memperkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal, dan diturunkan dengan berkesan.
Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, serta pakar kesihatan dan yang berkaitan.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 selepas menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara.
Walau bagaimanapun, boleh dan wajarkah persyaratan asal itu diguna pakai lagi? Kes wabak pandemik tidak banyak menurun, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Mengimbau semula, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal pada 15 Januari lalu telah pin meminta Muhyiddin menamatkan Darurat.

Sehari sebelum itu, Anwar mengutus surat kepada semua ahli Parlimen agar menghantar memorandum merayu YdPA membatalkan Darurat.

Memorandum itu juga bertujuan memohon perkenan Al-Sultan Abdullah membenarkan sidang Parlimen diadakan segera.

Dalam surat beliau, Anwar menegaskan jumlah kes semasa COVID-19 kian tenat yang mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, dan kadar kemiskinan meningkat.

Shafie pula meminta Muhyiddin menamatkan darurat, dan memulakan perjanjian damai politik. Jika perlu, katanya, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menghalang Pilihan Raya Negeri Sarawak, atau mana-mana pilihan raya selagi wabak pandemik ini masih ada.

Kerajaan PN, tegas Shafie, perlu berunding dengan PH agar memperoleh majoriti.

Kedengaran seperti menyanggah atau menderhakai YdPA. Ada peguam yang mengatakan Anwar tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

Namun demikian, anggapan ramai bahawa darurat yang diisytiharkan ialah darurat politik tidak boleh dinafikan begitu sahaja selepas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 12 Januari lalu, menolak Kerajaan PN, sekali gus mengisytiharkan kerajaan pimpinan Muhyiddin itu telah hilang majoriti.
Selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menarik sokongan, kerajaan PN ketika itu cuma ada 109 ahli Parlimen sahaja.

Menurut Nazri, beliau telah lama memikirkan keputusan yang dibuat itu, dan menganggap ia terbaik untuk Umno.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno turut menghadiri sidang media Nazri, tetapi tidak membuat sebarang kenyataan.

Tegas Nazri, pengumuman darurat selepas pengisytiharan PKP 2.0 adalah bukti logik Kerajaan PN telah runtuh.
Katanya, Muhyiddin dilihat agak panik barangkali kerana telah mengetahui perancangan beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan bagi membolehkan PRU15 diadakan. Ia memang darurat politik, kata beliau, kerana jika darurat kesihatan, kita boleh guna pakai PKP.

Seorang lagi AMT Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut berharap lebih ramai ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap PN-Muhyiddin.

Fakta jelas menyatakan Muhyiddin secara terbuka mengaku kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan yang diketuainya ialah kerajaan awam, bukan kerajaan tentera.

Badan Eksekutif yang mentadbir negara sekarang ialah Jemaah Menteri, bukan badan seperti Majlis Gerakan Negara.

Jadi, Parlimen Malaysia penggal Keempat Belas hasil dari PRU14, 9 Mei 2018 tidak digantung, dan masih sah berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar pada 12 Januari lalu di Ipoh juga mengatakan darurat bertujuan menghalang Parlimen bersidang. Bagi beliau, pengisytiharan darurat itu ada ‘udang di sebalik batu’.
Keraguan timbul kerana Muhyiddin mengatakan Kabinet ataupun badan eksekutif boleh berfungsi seperti biasa, yang bererti semua menteri masih berkuasa, dan boleh menjalankan tugas yang diamanahkan.

Badan kehakiman juga boleh berfungsi seperti biasa, dan tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah.
Namun demikian, kata Sivakumar, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibenarkan bersidang.
Sivakumar bertanya mengapakah hanya badan perundangan tidak dibenarkan berfungsi seperti biasa. Kelakar jika Kerajaan Muhyiddin menyatakan COVID-19 hanya merebak menerusi Sidang Parlimen, dan DUN.

Kerajaan PN, kata Sivakumar, takut dan bimbang ia akan tumbang jika persidangan Dewan Rakyat diadakan.
Dengan eksekutif dan kehakiman dibenarkan berfungsi di bawah darurat yang diisytiharkan, dan badan perundangan sebaliknya, Sivakumar berpendapat Kerajaan PN tidak menghormati undang-undang, dan mengamalkan double standard.

Sivakumar menganggap darurat ini untuk menyelamatkan politik Muhyiddin, dan Kerajaan PN. Rakyat sendiri, kata beliau, dapat menilai kejujuran Muhyiddin, dan kerajaannya dalam mengumumkan darurat.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (DAP-PH) turut menggesa Muhyiddin memanggil segera sidang khas Parlimen untuk membincangkan situasi COVID-19 yang kian meruncing ketika itu – apatah lagi ketika ini!

Bagi Steven, Kerajaan PN telah gagal sejak 8 Mac 2020 melawan wabak pandemik tersebut, dan melindungi ekonomi Malaysia.

Tambah beliau, kegagalan itu lebih terserlah melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat.

Kerajaan PN, kata Steven, tidak serius berusaha melawan COVID-19, sebaliknya lebih suka bermain politik.
Jadi, permohonan menamatkan darurat ini bukan cerita baharu. Kalau kira-kira empat bulan lalu, darurat tidak diterima, apatah lagi sekarang ketika wabak pandemik kian menggila!

Kesimpulannya, Parlimen Malaysia mesti dipanggil bersidang seperti notis yang telah dikeluarkan sebelum ini, iaitu Sidang Pembukaan Rasminya oleh YdPA pada 8 Mac 2021 lalu.

 

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.