Halangan misi ke Gaza bukan kegagalan tetapi usaha berterusan

Halangan misi ke Gaza bukan kegagalan tetapi usaha berterusan

Ahli Parlimen Malaysia berpandangan walaupun misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menemui jalan kegagalan kerana seringkali disekat,  ia bukan halangan untuk usaha berterusan dilakukan rakyat antarabangsa terutama rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Malaysia juga bersyukur dengan kepulangan Dr. Mohd Afandi Salleh, rakyat Malaysia dan aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang ditahan dan dipenjarakan oleh Israel pada 29 Julai lalu.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad dalam sidang media bersama di lobi Parlimen hari ini, juga mengucapkan terima kasih mereka kepada usaha membawa pulang Dr Mohd Afandi pada 31 Julai lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama memastikan beliau pulang dengan selamat ke tanah air dan ke pangkuan keluarga; khususnya MyCARE, Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Wisma Putra.

“Walaupun Dr. Mohd Afandi Salleh dan semua rakan-rakan dalam Kapal Al-Awda telah selamat pulang ke negara masing-masing, misi membebaskan Gaza daripada kepungan zalim Israel perlu diteruskan.

“Halangan yang dihadapi oleh misi ini untuk memasuki Gaza tidak seharusnya dilihat sebagai satu kegagalan, tetapi sebagai salah satu usaha berterusan rakyat antarabangsa untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza yang telah berlangsung lebih 11 tahun.

“Kami Ahli Parlimen dimaklumkan bahawa ini adalah misi yang ke-17 dan kapal yang ke-33. Biarpun hampir kesemuanya gagal memasuki Gaza, usaha memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza tetap diteruskan,” ujar kenyataan bersama hari ini.

Parlimen Malaysia katanya, sekali lagi menegaskan, mengecam sekerasnya-kerasnya tindakan zalim Israel mengenakan hukuman kolektif ke atas penduduk Gaza melalui sekatan darat, laut dan udara ke atas wilayah tersebut.

“Kepungan ini bertentangan dengan Artikel 33 dan 55 Konvensyen Geneva Keempat. Gaza mempunyai hak untuk hidup bebas sepertimana wilayah-wilayah lain di dunia ini.

“Menyekat Gaza daripada dunia luar bukan jalan menuju keamanan dan perdamaian. Sebaliknya, ia adalah jalan menuju kemusnahan dan permusuhan; lebih-lebih lagi selepas 3 kali serangan kejam Israel ke atas Gaza pada 2009, 2012 dan 2014 yang hampir melumpuhkan sepenuhnya wilayah tersebut.

“Atas dasar inilah Parlimen Malaysia menyokong sepenuhnya penyertaan Dr. Mohd Afandi Salleh dan rakan-rakan beliau dalam misi antarabangsa ini. Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menghalang pelayaran Kapal Al-Awda di perairan antarabangsa, menculik dan mencederakan 22 orang anak kapal dan kru di atasnya, serta merampas kapal, bantuan perubatan yang dibawa dan barangan peribadi peserta misi.

“Tindakan ini bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” ujar kenyataan itu.

Justeru, Ahli Parlimen Malaysia ujar kenyataan itu lagi, berjanji akan menyuarakan pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa supaya:

1.Israel menamatkan sekatan punitif dan kolektif ke atas Gaza yang telah melumpuhkan kegiatan ekonomi dan kehidupan penduduk wilayah tersebut;

2.Israel menghormati dan mematuhi peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menjalani kehidupan yang saksama dan bermaruah;

3.Pihak antarabangsa menyokong tindakan konstruktif untuk menghentikan kekejaman Israel termasuk menggantung hubungan diplomatik dan mengenakan sekatan ke atas Israel sepertimana yang pernah dikenakan ke atas rejim apartheid Afrika Selatan.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote