Halau Husam tutup kelemahan, kata Pemuda Amanah

Halau Husam tutup kelemahan, kata Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Kelantan menyifatkan tindakan Speaker Datuk Abdullah Ya'kub yang menghalau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa sebagai menutup kelemahan kerajaan negeri itu.

Hazmi HassanPemuda Amanah Kelantan menyifatkan tindakan Speaker Datuk Abdullah Ya’kub yang menghalau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa sebagai menutup kelemahan kerajaan negeri itu.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, arahan Speaker itu amat mengecewakan ketika rakyat Kelantan mahu pelbagai isu berkaitan kepentingan mereka dibincangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurutnya, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Hubungan Seranta, Datuk Nasuruddin Daud yang teruskan berceramah tentang isu bai’ah ketika sesi penggulungan hanya mengulang apa yang disebutnya sebelum ini.

“Sepatutnya, Adun di sidang Dewan Dun bercakap tentang rakyat tetapi berlaku sebaliknya. Nasuruddin meneruskan ceramah bai’ah di mana isi kandungan itu sama dengan siri-siri ceramahnya sebelum ini.

“Masa bersidang juga dilihat terlalu singkat. Di mana semalam, Speaker menangguhkan persidangan hari terakhir pada tengahari. Kenapa perlu tergesa-gesa untuk menamatkan sesi persidangan yang membolehkan wakil rakyat bercakap lebih banyak tentang hal-hal rakyat?” soalnya.

Hal tersebut, ujar Hazmi, bercanggah dengan sikap parti pemerintah negeri itu yang memaksimumkan tenaga ahlinya dan mengeksploitasi segala aset kerajaan negeri selama ini.

“Jika ceramah Pas, mereka boleh kerah ahli-ahli dan menggunakan kemudahan-kemudahan, kerajaan kenapa waktu bersidang hari ini disingkatkan?

“Benar, speaker mempunyai hak untuk menghalau Datuk Husam dari dewan melalui Perkara 51 Peraturan Tetap Dun Kelantan. Namun, rakyat juga mempunyai hak memilih kerajaan yang lebih demokrasi.

“Kerajaan negeri pun jangan lupa, rakyat Kelantan juga berhak menghalau Adun yang tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan isu rakyat lantaran lebih sibuk menjaga kepentingan kuasa politik semata-mata,” bidas Hazmi lagi ketika menghubungi Malaysia Dateline.

Semalam, Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan dihalau dari sidang Dun hanya kerana mencelah mahu meminta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika sesi penggulungan Titah Pemangku Raja Kelantan memberi penjelasan kelayakan Nasuruddin yang bercakap tentang isu baiah dalam sesi sebelum itu.

Walaupun Ahmad dalam reaksinya berkata, Husam sebagai Adun wajar tahu peraturan yang perlu dipatuhi seperti terkandung dalam buku yang dibekalkan dan sepatutnya mengambil peluang kelmarin jika mahu membahaskan titah berkenaan tetapi Husam memberitahu dirinya tidak diberi peluang untuk berucap.

“Saya tidak sangka tindakan itu menyebabkan saya dihalau keluar. Saya mencabar kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap saya kerana ada yang mendakwa saya bersekedudukan dengan isteri akibat melanggar taklik baiah,” ujarnya.

TAGS