Tular mengenai keprihatinan seorang pengguna sosial yang simpati akan nasib seorang remaja yang terpaksa tidur di koridor rumah selepas dihalau ibu bapa.
Jelas individu yang tidak mendedahkan nama itu, kejadian tersebut berlaku di Johor dan remaja tersebut tetap hadir ke sekolah meskipun tidak dibenar masuk ke rumah sendiri.
Malah makanan diberikan jiran sekeliling yang simpati akan nasib remaja tersebut yang tetap duduk di koridor rumah pangsapuri kos rendah keluarganya di Pasir Gudang, Johor.
Remaja tersebut juga dikatakan terpaksa membuang air besar di kawasan tangga kerana tidak mendapat kebenaran untuk masuk ke dalam rumah.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan pihaknya menahan pasangan suami isteri berusia 54 dan 56 tahun.
Jelasnya pengabaian bermula sejak 7 Julai lalu dan remaja lelaki berusia 13 tahun berjaya diselamatkan lapor Majoriti.
Dalam pada itu, Mohd Sohaimi memaklumkan pasangan tersebut kini ditahan reman selama lima hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca juga: Peniaga durian di Terengganu ini raih perhatian, tawar durian percuma untuk orang single