Calon Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan (Dun) Seri Setia Halimey Abu Bakar mahu memastikan golongan wanita dimartabatkan dan dihargai atas segala sumbangan yang telah mereka berikan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Saya yakin PRK dan Pakatan Harapan amat komited untuk menghargai sumbangan golongan wanita. Ini terbukti sejak Pakatan Rakyat (PR) dan kini Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan, sekurang-kurangnya 30% golongan itu terlibat dalam membuat keputusan sama ada di peringkat induk mahu pun di peringkat akar umbi.
“Ada di antara mereka dilantik sebagai EXCO negeri, Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah, mahupun sebagai Pengarah Bahagian dan Peneraju di dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC). Tidak lupa, wanita pertama pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merupakan seorang wanita yang mempunyai semangat juang yang tinggi, jiwanya kental dan berani.
“Saya juga ingin memaklumkan di peringkat negeri Selangor telah ada diwujudkan program dikenali Penggerak Wanita Berdaya (PWB), selain penubuhan sebuah institusi dikenali Institut Wanita Berdaya (IWB).
“Kedua-dua entiti ini diwujudkan dengan tujuan merangka polisi dan strategi bagi pemerkasaan dan pembangunan wanita secara holistik. Terutama untuk meningkatkan lagi status sosioekonomi wanita di negeri ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau hari ini, hadir dalam program demontrasi masakan bersama Chef Mior Azam di Bilik Gerakan Daerah Mengundi di Lembah Subang hari ini.
Justeru katanya di Dun Seri Setia beliau memberi jaminan apa yang dilakukan kerajaan negeri selama ini akan dipastikan untuk disalur dan dipraktikan demi membantu golongan wanita di kawasan ini.
“Suka saya memberi jaminan di sini, golongan wanita yang layak di kawasan Dun Seri Setia ini akan dapat menikmati kesemua faedah daripada program itu tidak lama lagi apabila semua urusan permohonan berkaitannya boleh dilakukan di pejabat Dun yang akan ditubuhkan nanti.
“Selain menyalurkan program kerajaan pusat dan kerajaan negeri, saya juga ingin memaklumkan bahawa program meningkatkan pendapatan isi rumah bagi membantu golongan wanita di Dun ini juga sudah dirangka.
“Ia membabitkan program melatih dalam pembuatan makanan sejuk beku, jahitan, urutan tradisional dan SPA kecantikan. Program akan bersama dengan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Exco Wanita Selangor, Agensi seperti Kemas dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau juga percaya golongan wanita juga mempunyai hak untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan sempurna.Justeru beliau menasihati kepada semua wanita yang berdepan masalah di Dun Seri Setia supaya tidak merahsiakan masalah yang anda hadapi.
“Sama ada berdepan masalah ekonomi, menjadi mangsa keganasan atau penindasan gender di tempat kerja. Datanglah ke Pusat Khidmat Masyarakat Dun ini untuk berkongsi masalah itu dengan kami. InsyaAllah, masih ada cahaya di hujung terowong kehidupan yang gelap itu.
“Bagi PRK N32 Dun Seri Setia kali ini, sebanyak 50.42% adalah wanita. Oleh itu, saya merayu kepada semua wanita, pengundi PRK N32 Dun Seri Setia untuk mengundi saya, calon dari Pakatan Harapan,”ujarnya.
Pada 8 September depan Halimey akan berhadapan dengan calon Pas Dr Halimah Ali di Dun Seri Setia. PKR Dun Seri Setia diadakan susulan kematian penyandangannya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.