Hamas dan Fatah diseru bersatu hadapi tindakan terbaru Israel

Hamas dan Fatah diseru bersatu hadapi tindakan terbaru Israel

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang memperkenalkan undang-undang baharu pada 20 Julai lalu kerana ia terang-terangan akan mendorong diskriminasi terhadap minoriti etnik Arab di negara itu.

Pengurus Besar Serantau Muslim Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya mengecam tindakan Israel ini sekeras-kerasnya kerana mereka tidak menghiraukan nasib minoriti bangsa lain yang berada di negara itu walaupun menurut mereka, Israel mempunyai kuasa ekslusif untuk penentuan nasib negara yang berada di dalamnya.

“Serantau Muslim merasa bimbang dengan keadaan yang bakal berlaku terhadap 1.8 juta minoriti penduduk Arab yang mungkin berdepan dengan diskriminasi yang lebih teruk.

“Di sudut lain, Serantau Muslim berharap pejuang Hamas yang dipimpin oleh Ismail Haniyeh dapat bersatu dengan pertubuhan pembebasan Palestin, Fatah yang diketuai Presiden Palestin Mahmoud Abbas agar nasib penduduk di Semenanjung Gaza akan lebih terbela dan penderitaan kemanusiaan di sana akan berkurangan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu juga kata beliau, Serantau Muslim ingin menyeru umat Islam seluruhnya agar tidak berpecah belah dek masalah kecil kerana tanpa perpaduan, kita akan lemah dan mudah diserang oleh musuh-musuh Islam.

Serantau Muslim tambahnya, amat berharap 20 peratus minoriti penduduk Arab yang berada di wilayah taklukan Israel akan mendapat perhatian dunia sewajarnya rentetan pengumuman Israel ini dan orang ramai juga boleh terus ke untukmupalestin.com dan untukmusyria.com untuk membantu mereka yang memerlukan di negara bergolak itu.

COMMENTS

Wordpress (0)